GLOBAL l Presiden Zimbabwe, Robert Mugabe akhirnya meletakkan jawatan selepas 37 tahun memerintah.

Menurut Reuters, pemimpin berusia 93 tahun menghantar sepucuk surat selepas menghadapi pelbagai tekanan termasuk rampasan kuasa oleh tentera dan undi tidak percaya di parlimen.

Sebelum ini, parlimen negara itu memulakan proses pemecatan beliau sekali gus menamatkan pemerintahan hampir empat dekad pemimpin berkenaan.

Keputusan itu yang diumumkan oleh Speaker Zimbabwe, Jacob Mudenda diraikan dengan meriah oleh sidang dewan parlimen sekali gus menghentikan prosedur pemecatan tersebut.

Bekas ketua keselamatan yang dikenali sebagai `Buaya’, Emmerson Mnangagwa dijangka mengambil alih tempat Mugabe.

Sementara itu, AFP melaporkan hon kereta dibunyikan sepanjang jalan, begitu juga orang ramai yang berpesta di Harare iaitu ibu negara Zimbabwe selepas mendengar bahawa Mugabe telah melepaskan jawatannya.

"Kami sangat gembira akhirnya perubahan bakal berlaku,” kata Togo Ndhlalambi berusia 32 tahun.

"Kami bangun setiap pagi mengharapkan detik ini. Negara ini telah melalui situasi sangat getir.”

Selepas krisis politik yang berlarutan selama seminggu rakyat Zimbabwe meluahkan perasaan dengan pelbagai cara termasuk menari di jalan-jalan.

"Saya gembira Mugabe letak jawatan selepas 37 pemerintahan kuku besi,” kata Tinashe Chakanetsa, 18.

Beliau berharap negara berkenaan tidak lagi ditadbir oleh seorang individu seperti sebelum ini.

"Kami memerlukan pemimpin yang dipilih rakyat. Saya berharap akan memperoleh pekerjaan selepas ekonomi negara ini pulih.”