Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Puncak Niaga saman Azmin, Khalid, k’jaan S'gor - RM14 bilion
Diterbitkan:  Nov 22, 2017 10:47 AM
Dikemaskini: 3:12 AM

Puncak Niaga Holdings Bhd memfailkan tuntutan saman RM14 bilion ke atas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, bekas menteri besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan kerajaan negeri berhubung pengambilalihan industri air negeri itu.

Akhbar The Edge melaporkan Puncak Niaga mendakwa bahawa kedua-dua Azmin dan Khalid menyalahgunakan kuasa mereka dengan mengancam untuk memaksa kerajaan persekutuan menggunakan Akta Industri Perkhidmatan Air untuk pengambilalihan itu.

Dalam satu kenyataan dengan Bursa Malaysia semalam, Puncak Niaga mendakwa bahawa kerajaan Selangor "bertanggungjawab terhadap perbuatan Khalid dan Azmin".

Pengurusan kes itu telah ditetapkan pada 28 November ini di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Puncak Niaga menuntut ganti rugi, faedah ganti rugi dan perbezaan kos antara penilaian PNSB Water Sdn Bhd (dahulu dikenali sebagai Puncak Niaga (M) Sdn Bhd dan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) pada RM2.08 bilion hingga RM2.35 bilion dan pertimbangan pembelian sebenar pada RM1.55 bilion di bawah perjanjian pembelian saham bertarikh 11 Nov 2014 antara Puncak Niaga dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd.

Ia juga menuntut kehilangan peluang perniagaan di dalam dan di luar negara, berjumlah RM13.5 bilion.

Kerajaan Selangor dan Putrajaya menandatangani memorandum persefahaman pada 2014 yang menyaksikan negeri itu mengambil alih empat syarikat konsesi air yang beroperasi.

Di bawah penstrukturan semula air Selangor, kerajaan negeri mengambil alih aset air yang dimiliki oleh Puncak Niaga, SYABAS dan Konsortium Abass bernilai lebih RM6 bilion.

Pelupusan syarikat PNSB dan SYABAS selesai pada 15 Okt 2015 pada harga RM1.55 bilion.

Penyatuan aset air masih berterusan kerana pengambilalihan Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd masih belum selesai.

Lihat Komen
ADS