Anak lelaki Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor, Datuk Husam Musa, Ahmad Syafi Husam dibebaskan dengan jaminan selepas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kota Bharu, hari ini atas dakwaan memiliki 20 gram pil kuda.

Pendakwaan terhadap Ahmad Syafi, 29, dibuat di hadapan Majistret Kamarul Hasyime Rosli.

Tertuduh didakwa memiliki 200 biji pil kuda ketika ditahan di tepi sebuah rumah di Kampung Jelutong, Jalan Pasir Mas-Salor, Kota Bharu, jam 3.30 petang, Sabtu lalu.

Pendakwaan dibuat oleh Timbalan Pendakwa Raya negeri, Muhamad Shahirun Azri Mohd Nordin mengikut Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh membawa hukuman maksimum lima tahun penjara dan tiga hingga sembilan sebatan jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang diwakili lima peguam bela yang diketuai Firdaus Mohd Yusuf Yakob bagaimanapun mengaku tidak bersalah.

Terdahulu, Mohd Shahirun Azri mencadangkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin.

Mohd Firdaus kemudiannya memohon jaminan dikurangan dengan alasan jumlah ini membebankan anak guamnya dan jumlah itu dikurang kepada RM10,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 14 Januari depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia.