Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PM Lubnan tiba di Beirut lepas letak jawatan

GLOBAL Perdana Menteri Lubnan Saad al-Hariri tiba di Beirut pada petang Selasa selepas meletakkan jawatan secara tiba-tiba menerusi satu siaran televisyen dari ibu negara Arab Saudi, Riyadh, pada 4 Nov, lapor agensi berita China Xinhua.

Hariri berlepas dari Paris pada pagi Selasa dan berkunjung ke Mesir di mana beliau mengadakan rundingan dengan Presiden Abdel Fatah Sissi, sebelum mengadakan lawatan mengejut ke Cyprus serta berunding dengan Presiden Nicos Anastasiades.

Ketika mengumumkan peletakan jawatannya, Hariri memberi alasan berbuat demikian dengan merujuk kepada aktiviti dalaman dan luaran bersenjata Hezbollah, sebuah kumpulan militan Syiah Iran yang disokong beberapa menteri serta sekutu dalam kerajaan dan parlimen Lubnan.

Hariri berkata peletakan jawatan itu dibuat selepas beliau mengetahui terdapat satu plot pembunuhan terhadapnya di Lubnan.

Hezbollah dan Iran mendakwa Hariri telah ditahan serta dipaksa meletak jawatan di Riyadh, yang kemudian disangkal pemimpin itu dalam satu temu bual televisyen di Riyadh selepas pertemuannya dengan Perdana Menteri Perancis Emmanuel Macron di Paris.

Presiden Lubnan Michel Aoun bagaimanapun enggan menerima peletakan jawatan Hariri yang dianggap tidak mematuhi perlembagaan kerana tidak dikemukakan kepada beliau di Lubnan.

Aoun juga berpendapat bahawa Hariri sebenarnya telah dipaksa meletak jawatan oleh Arab Saudi dan pemimpin itu dikenakan tahanan dalam rumah serta mendakwa kerajaan Arab Saudi telah melakukan satu tindakan agresi terhadap Lubnan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS