Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Zahid: Pendekatan lembut berjaya jinakkan pengganas

Pendekatan lembut yang dilaksana kerajaan berjaya menjinakkan mereka yang terjebak dalam keganasan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, 97.5 peratus iaitu 282 daripada 289 suspek pengganas yang ditahan telah berjaya dipulihkan melalui pendekatan itu.

"Apa yang kita lakukan antaranya pendekatan lembut, dalam proses itu (kita) betulkan soal akidah, kepercayaan. Sebab itu kita perlukan ulama.

"Kemudian kita juga bawa keluarga (untuk bertemu mereka)," katanya pada sidang media selepas merasmikan Sidang Kemuncak Menangani Pembiayaan Pengganas (CTF) Ketiga di Bank Negara Malaysia, hari ini.

Zahid juga berkata pemantauan menerusi pemasangan peranti pemantauan elektronik (EMD) terhadap suspek untuk tempoh tertentu juga berkesan dalam menyekat perhubungan mereka dengan pihak yang berkaitan dengan keganasan.

Sebelum ini, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas, Bukit Aman Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay dilaporkan berkata, Malaysia boleh dianggap sebagai 'kisah kejayaan' dalam menangani keganasan dengan kombinasi risikan, undang-undang dan pemulihan yang berkesan.

Dalam wawancara bersama Channel News Asia Oktober lalu, Ayob berkata polis bekerjasama dengan institusi pendidikan dan pihak berkuasa agama dalam menangani ideologi tersebut.

Dalam pada itu, Zahid memberi amaran kepada mana-mana pertubuhan bukan berasaskan keuntungan supaya tidak sesekali memberi dana kepada kegiatan keganasan.

"Kita khuatir dengan organisasi yang mempunyai objektif yang baik, tetapi disalahgunakan untuk mempromosi keganasan termasuk dalam soal dana.

"Setakat ini belum ada organisasi yang terlibat, tetapi di luar negara sudah ada," katanya lagi.

Turut hadir pada sidang itu ialah Menteri Keadilan Australia, Michael Keenan; Menteri Koordinator Bidang Politik, Hukum dan Keamanan Indonesia, Wiranto dan Gabenor BNM, Tan Sri Muhammad Ibrahim.

Lihat Komen
ADS