20 pelarian Uighur akan ditahan jika masuk Malaysia
Kerajaan akan bekerjasama dengan polis antarabangsa (Interpol) dan Aseanapol untuk mengesan 20 etnik Uighur yang melarikan diri daripada tahanan imigresen di selatan Thailand semalam dan mungkin memasuki negara ini.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata pihaknya telah menerima maklumat mengenai insiden itu namun belum jelas sama ada mereka memasuki negara ini atau sebaliknya.
"Jika mereka ada di sini (Malaysia), kita akan tahan mereka. Kita akan kerjasama dengan Aseanapol dan Interpol.
"Kita ada mekanisme untuk kesan mereka,” katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas majlis perasmian Sidang Kemuncak Menangani Pembiayaan Pengganas (CTF) Ketiga di Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia, hari ini.
Agensi berita antarabangsa melaporkan, jurucakap imigresen Thailand Cherngron Rimpadee berkata, 20 orang masih diburu dan lima orang berjaya ditangkap kembali ketika cuba melarikan diri menjelang Subuh.
"Seramai 20 tahanan masih diburu, mereka tidak mempunyai makanan dan tidak dapat berkomunikasi dengan penduduk kampung.
"Mereka kemungkinan mahu masuk ke Malaysia. Kami percaya mereka akan ditangkap tidak lama lagi," Cherngron Rimpadee dilaporkan sebagai berkata.
Menurut laporan itu lagi, pihak berkuasa Thailand sedang giat memburu 20 etnik Uighur itu ketika Beijing mendesak Bangkok menghantar mereka pulang.
Kumpulan itu adalah antara ratusan yang ditahan di Thailand pada 2014 walaupun mendakwa mereka rakyat Turki.
Turki berkongsi hubungan etnik dengan Uighur dan menerima mereka yang lari ke Xinjiang, China yang masyarakat minoriti Islam berdepan sekatan ketat beragama termasuk larangan menyimpan jambang dan solat di tempat terbuka.

