Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ketua pembangkang Kelantan titis air mata keluar dewan

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan Datuk Nozula Mat Diah menangis selepas diarah keluar dari persidangan oleh Speaker, Datuk Abdullah Ya'kub, hari ini.

Abdullah menghalau Nozula (BN-Paloh) selepas dikatakan melanggar peraturan dewan dengan mengganggu sesi penggulungan pihak kerajaan negeri walaupun diberi amaran beberapa kali.

Arahan itu sekali gus menyebabkan Nozula sebak dan mengalirkan air mata dan mendakwa tidak diberi ruang secukupnya untuk bersuara dalam persidangan dewan yang berakhir hari ini.

Susulan tindakan terhadap Nozula, empat lagi wakil BN iaitu Datuk Ramzi Ab Rahman (Dabong), Mat Razi Mat Ail (Pengkalan Kubor), Ab Aziz Yusoff (Galas) dan Zulkifle Ali (Selising) turut bertindak meninggalkan dewan.

Nozula berkata, beliau sedih kerana hak sebagai ketua pembangkang untuk berucap mewakili rakyat dinafikan sepenuhnya oleh speaker DUN.

Terdahulu, Nozula berkali-kali memohon diberi ruang untuk berucap pendek ketika exco kesejahteraan rakyat, kesihatan, alam sekitar dan NGO Datuk Dr Ramli Mamat mahu memulakan penggulungan.

Bagaimanapun permintaan beliau ditolak Abdullah dengan alasan kesemua wakil rakyat termasuk dari BN telah diberi peluang secukupnya pada sesi perbahasan Bajet 2018.

"Saya dukacita dengan perbuatan Datuk Speaker yang sepatutnya memberi peluang kepada saya untuk gulung perbahasan dan memberitahu perkara-perkara bersangkutan untuk kepentingan rakyat.

"Tetapi mereka menolak dan beri peluang kepada exco untuk buat penggulungan, saya tak rela," kata Nozula dalam keadaan sebak ketika ditemui media sejurus keluar daripada dewan.

Sementara itu Ramzi berkata, tindakan mereka keluar daripada dewan sebagai tanda solidariti dan membantah keputusan speaker itu.

"Sepatutnya di parlimen ataupun DUN, ketua pembangkang diberi masa untuk berucap. Kita amat dukacita apabila ketua pembangkang tidak diberi peluang untuk berucap membahaskan bajet tahun ini.

"Kami daripada BN ambil keputusan untuk turut tidak hadir sesi penggulungan kerana kita bantah pengusiran Nozula dari dewan," jelasnya.

Lihat Komen
ADS