Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Gelandangan bawah 60 tahun akan jalani program kemahiran

Gelandangan di bawah umur 60 tahun yang masih produktif dan mampu bekerja akan ditempatkan di pusat-pusat kebajikan Desa Bina Diri di seluruh negara untuk menjalani program pemulihan sambil meningkatkan kemahiran diri mereka.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Azizah Mohd Dun berkata langkah itu bagi membolehkan golongan itu diberikan latihan kemahiran dalam bidang tertentu serta pekerjaan yang bersesuaian.

"Sejumlah 5,013 gelandangan pula yang ingin mengubah kehidupan mereka secara sukarela telah mendapatkan khidmat bantuan sosial di Anjung Singgah, iaitu pusat sehenti intervensi yang dikendalikan Yayasan Kebajikan Negara," katanya menjawab pertanyaan Nurul Izzah Anwar (PKR-Lembah Pantai) mengenai langkah mengatasi isu gelandangan di Kuala Lumpur pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Selaras dengan keputusan mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tinggi Majlis Sosial yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada 18 Feb lepas, Azizah berkata kementeriannya diberi tanggungjawab menjadi peneraju serta menubuhkan badan penyelarasan bagi menangani isu gelandangan secara holistik.

Katanya, Pelan Tindakan Bagi Menangani Isu Golongan Gelandangan yang terbahagi kepada lima tumpuan utama iaitu perumahan, kebajikan, pekerjaan, kesihatan dan bukan warganegara, sedang dirangka dan akan diterbitkan dalam masa terdekat.

Pada masa ini terdapat lima buah Desa Bina Diri iaitu masing-masing di Mersing, Jerantut, Kuching, Kota Samarahan dan Sungai Buloh.

Sementara itu, Azizah berkata kementeriannya bercadang mewujudkan sekurang-kurangnya sebuah Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) di setiap kawasan Parlimen.

Beliau berkata ia sebagai usaha mewujudkan pelbagai program dan perkhidmatan berasaskan komuniti dalam penjagaan kesejahteraan warga emas.

“Sehingga 30 Sept lepas, sebanyak 53 PAWE telah beroperasi di seluruh negara, jumlah ini dijangka bertambah hingga 59 buah menjelang akhir tahun ini,” katanya menjawab soalan Datuk Seri Hasan Arifin (BN-Rompin) yang ingin tahu jumlah pusat aktiviti warga emas di setiap Parlimen.

Azizah berkata selain PAWE, sebanyak 233 Klinik Kesihatan di setiap negeri turut menyediakan ruang interaksi untuk warga emas yang masih aktif.

- Bernama

Lihat Komen
ADS