Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Nafi protes gagal, HARAPAN anjur kempen ‘Turun Turun’

Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Mujahid Yusof Rawa menafikan protes Pemuda Pakatan Harapan (HARAPAN) berhubung kenaikan harga minyak di luar bangunan parlimen sejak Selasa lalu sebagai gagal.

Sebaliknya, Mujahid berkata, protes tersebut mendapat sambutan menggalakkan di media sosial.

“Walaupuan mereka kata tidak dapat sambutan, hanya beberapa kerat sahaja, tuan-tuan jangan lupa setiap kali kita buat siaran langsung (live FB) berpuluh ribu yang menonton.

“Kita dapat sokongan setiap kereta yang lalu mereka memberi horn termasuk anggota parlimen dari BN,” kata Mujahid yang juga anggota parlimen Parti Buntar ketika ditemui di luar parlimen.

Terdahulu Pemuda HARAPAN mengadakan sidang media di luar parlimen bagi melancarkan Kempen “Turun Harga Minyak, Turun Najib” atau “Turun Turun” pada 31 Disember ini.

Kempen itu bagi mendesak kerajaan segera mengembalikan subsidi bahan api sebanyak RM1 bilion yang mampu mengurangkan harga sebanyak 20 sen untuk setiap liter minyak.

Bagaimanapun lokasi kempen tersebut belum ditentukan tetapi ia akan diadakan di Kuala Lumpur.

Kempen “Turun Turun” adalah kesinambungan daripada protes berkhemah selama 42 jam di hadapan parlimen bermula tengah malam semalam dan dijangka berakhir pada jam enam petang Rabu ini, apabila harga bagi RON95, RON97 dan diesel untuk minggu berikutnya diumumkan.

Protes tersebut diadakan selepas harga minyak mencatat rekod tertinggi pada Khamis lalu - RON95 (RM2.38 seliter), RON97 (RM2.66 seliter) dan diesel (RM2.25 seliter) - sejak kerajaan mula memperkenalkan sistem harga apungan mingguan.

Mengulas lanjut kempen tersebut, Ketua Pemuda PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, Pemuda HARAPAN akan mengadakan program penerangan di peringkat akar umbi yang merangkumi program rapat umum.

Bersama Gerakan Turun Harga Minyak (GERTAK), mereka juga akan meneruskan program flashmob mingguan pada setiap hari Rabu dan menggerakkan petisyen bantahan bagi mewujudkan momentum bantahan yang berterusan.

Oleh itu, Pemuda HARAPAN menyeru semua pihak menyokong kempen tersebut menjelang sambutan tahun baru 2018.

Antara pemimpin Pakatan Harapan yang turut hadir ialah, Pengarah Komunikasi AMANAH Khalid Samad, anggota parlimen Kuala Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin, anggota parlimen Sepang, Hanipa Maidin, anggota parlimen Taiping, Nga Kor Ming, dan Ketua Pemuda AMANAH, Mohd Sany Hamzan.

Lihat Komen
ADS