'GST untuk urus ekonomi, seperti di India'
Pemimpin MIC merujuk kepada agensi penarafan kredit Moody's yang meningkatkan penarafan penerbit India dan mengubah prospek kepada stabil daripada positif untuk melawan hujah anggota parlimen DAP Tony Pua.
Datuk Seri S Vell Paari berkata peningkatan penarafan India oleh Moody's itu disebabkan perubahan dalam kerajaan, termasuklah pelaksanaan porgram-program seperti GST dan skim-skim pengambilan untung secara langsung.
Bendahari Agung MIC itu menjelaskan bahawa program-program ekonomi di India hampir sama dengan program ekonomi yang diperkenalkan BN di bawah pemerintahan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak termasuklah GST dan BR1M.
“Usaha ini diambil kerajaan BN sebagai langkah mengurus ekonomi, seperti dilakukan di India, (dan) diterima baik oleh agensi penarafan.
“Justeru, kenyataan Pua yang memesong berkenaan GST dan kesan negatif terhadap ekonomi Malaysia adalah merepek,” tambahnya.
Vell Paari turut memetik Moody's yang menyebut program ekonomi yang dilaksanakan di India membantu kerajaan negara itu meningkatkan pasaran, daya pengeluaran, selain turut menggalakkan pelaburan dalam dan luar negara dan seterusnya memupuk perkembangan kukuh dan lestari.
Beliau berkata pengkritik seperti Pua perlu sedar bahawa rakyat Malaysia tidak bodoh.
“Era ketika rakyat percaya apa saja yang dikatakan pemimpin pembangkang sudah berakhir.
“Rakyat kini sedar bahawa apa yang dikatakan pemimpin pembangkang kebanyakannya tidak benar dan berniat mensabotaj ekonomi negara,” katanya.
Vell Paari berkata ekonomi Malaysia di bawah pentadbiran Najib berkembang pesat, seperti yang dilaporkan majalah ekonomi atas talian, Bloomberg.
“Perkembangan ekonomi negara kita pada kadar mengagumkan iaitu 6.2 peratus pada suku terakhir, melebihi sasaran Bank Negara.
“Jika mengikut cakap pembangkang, Malaysia sepatutnya muflis beberapa bulan lepas,” katanya.

