Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bajet Perak bukan penipuan - Zambry
Diterbitkan:  Nov 23, 2017 5:39 AM
Dikemaskini: 9:58 PM

Menteri Besar, Datuk Seri Zambry Abd Kadir menegaskan bahawa semua kandungan dalam Bajet Perak 2018 yang dibentangkan oleh beliau kelmarin adalah berdasarkan fakta serta statistik pencapaian kerajaan negeri dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Katanya, beliau tidak pernah menipu dan mengelirukan rakyat dalam pembentangan bajet sejak menerajui kepimpinan negeri Perak pada 2009.

"Nampaknya fakta-fakta ini membuatkan beberapa wakil rakyat pembangkang resah dan ada juga 'kepanasan' lalu tampil dengan respons negatif dan sarat dengan pembohongan," katanya kepada dalam sidang media di luar Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Negeri ke-13 di Ipoh semalam.

Beliau mengulas mengenai dakwaan beberapa wakil rakyat pembangkang antaranya bajet Perak defisit selama tujuh tahun berturut-turut, kemerosotan rizab negeri dan tiada pertambahan hasil.

Menurut Zambry, walaupun kerajaan negeri membentangkan bajet defisit tetapi penyata kewangan sebenar setiap tahun merekodkan lebihan.

Katanya, sejak tahun 2009, penyata kewangan negeri yang telah diaudit menunjukkan lebihan iaitu 2009 sebanyak RM9.55 juta, 2010 (RM30.39 juta), 2011 (RM25.72 juta), 2012 (RM18.49 juta), 2013 (RM13.13 juta), 2014 (RM7.73 juta), 2015 (RM7.59 juta) dan 2016 (RM4.42 juta).

Zambry berkata pembangkang juga cuba mengelirukan rakyat apabila mendakwa Bajet 2017 adalah defisit sedangkan laporan kewangan 2017 akan hanya siap apabila berakhir tahun ini.
​​​​​
Dalam pada itu, katanya, dakwaan pembangkang bahawa tiada pertambahan hasil negeri adalah tidak benar kerana rekod mencatatkan penambahan hasil daripada RM700 juta pada 2010 kepada RM1.011 bilion pada 2016.

"Pembangkang juga menuduh rizab negeri tidak bertambah tetapi angka menunjukkan sebaliknya. Saya ingin menjelaskan bahawa kedudukan rizab negeri termasuk tunai sehingga 21 November 2017 adalah RM1.1 bilion," katanya.

"Saya harap rakyat mendapat gambaran jelas dan benar kerana ini sangat penting supaya maklumat yang diberikan oleh mereka (pembangkang) diperbetulkan, kalau tidak rakyat akan menganggap apa yang dibentangkan dalam Bajet 2018 adalah satu penipuan," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS