Paling Popular
Terkini
story images
story images

ULASAN l Saya ingin meluahkan rasa kecewa dan mengecam tindakan ganas Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob yang telah mengejutkan orang ramai apabila mencemar kesucian dewan dengan mencabar Ketua Pembangkang, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji untuk bertumbuk.

Sangat menyedihkan apabila Adnan bertindak liar hanya kerana gagal membalas hujah dari Tengku Zulpuri dengan baik.

Adalah satu perkara yang amat memalukan apabila seorang Menteri Besar gagal bersikap matang dan berwibawa di dalam dewan. Pada masa sama menunjukkan contoh buruk kepada seluruh rakyat Malaysia bahawa keganasan merupakan jalan penyelesaian kepada semua perkara.

Tengku Zulpuri membangkitkan tentang permasalahan banjir di kawasan DUN beliau. Permasalahan banjir adalah permasalahan yang harus ditangani bersama demi keselamatan rakyat dan bukan tempat untuk bersikap emosi.

Adnan sepatutnya menjadikan kerajaan Pulau Pinang sebagai contoh bagaimana perbezaan politik tidak menghalang kerjasama demi memastikan rakyat selamat dan tenteram.

Saya yakin tidak ada mana-mana tamadum maju di dalam dunia yang mengajar manusia untuk meninggalkan hujah dan bertindak menggunakan kekerasan.

Sebelum ini Adnan pernah menyalahkan penganjuran Oktoberfest sebagai sebabnya bencana ribut kencang dan banjir berlaku di Pulau Pinang.

Ini juga mengejutkan kerana Oktoberfest telah dianjurkan selama 45 tahun tanpa sebarang masalah sebelum ini. Janganlah memperlekehkan kebijaksanaan rakyat Malaysia.

Saya bersolidariti bersama Tengku Zulpuri dan memuji sikap beliau. Malah beliau turut menyatakan bahawa beliau sedia ditumbuk oleh Adnan dan tidak akan membalas kembali.

Inilah sifat terpuji seorang pemimpin yang matang, berwibawa dan sanggup berdepan apa saja demi keselamatan dan kesejahteraan rakyat.

Saya berharap kejadian ini membuka mata rakyat Malaysia agar memilih pemimpin yang terbaik demi kesejahteraan mereka.


LIM GUAN ENG adalah ketua menteri Pulau Pinang dan juga setiausaha agung DAP.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian sidang redaksi Malaysiakini.

 

Lihat Komen
ADS