‘Sama ops polis, tapi saya tak kata itu adalah polis’
INKUIRI SUHAKAM l Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, SAC Fadzil Ahmat mengakui gaya penculikan Paderi Raymond Koh adalah sama dengan operasi polisi.
Mengesahkan perkara itu pada pendengaran awam Suhakam berhubung kehilang Koh, Fadzil ditunjukkan rakaman CCTV mengenai penculikan itu disoal oleh peguam keluarga Koh, Jerald Gomez jika penculikan itu mungkin adalah operasi polis.
Koh diculik pada 13 Februari lalu di Petaling Jaya. Rakaman video kejadian itu memaparkan beliau dilarikan oleh lelaki bertopeng pada siang hari.
“Apa saya boleh katakan ialah sememangnya operasi polis, memang teratur, ada kita punya cara untuk masuk, keluar, buat tangkapan.
“Kalau nak kata sama dalam video itu, memang kita ada MO (modus operandi) sebegitu.Sama dari segi taktikal.
“Tapi saya tak kata itu adalah polis, gayanya sama dengan operasi terancang,” kata Fadzil yang mengetuai pasukan petugas menyiasat penculikan Koh.
Bagaimanapun, Fadzil berkata operasi sedemikian tidak terhad kepada pasukan polis sahaja kerana angkatan tentera dan agensi penguatkuasa lain yang teratur juga mempunyai kemampuan sama.
Beliau mengakui bahawa penculik berkenaan telah dilatih untuk menjalankan operasi itu.

Ditanya kemudian sama ada penculikan Koh mungkin dilakukan oleh unit polis yang dia tidak diketahunya, Fadzil menafikannya dan berkata, bahawa dirinya akan tahu sama ada mereka melakukannya.
"Tidak, tidak, kalau operasi polis mesti kita tahu,” katanya dalam nada yang tegas.

