Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'MAS milik kerajaan, benarkan pramugari bertudung'

Kerajaan digesa membenarkan pramugari Malaysia Airline Berhad (MAS) bertudung bagi membuktikan amalan diskriminasi tiada tempat di negara ini.

Mengulas kenyataan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Abdul Aziz, anggota parlimen Shah Alam Khalid Samad berkata langkah itu boleh dilakukan kerana MAS milik kerajaan.

"Nazri ini janganlah nak ambil kesempatan nak tunjuk hero. Kalau betul tunjuklah contoh, bagi pada MAS, jangan hanya cakap tapi tindakan tidak ada apa.

"Kalau betul nak buat tindakan betul, bagilah contoh yang betul juga.

“Benarkan pramugari MAS bertudung, sebab kita semua tahu MAS milik kerajaan. Mereka ada kuasa untuk buat peraturan demikian," kata Khalid dalam sidang media di parlimen hari ini.

Dalam sesi penggulungan perbahasan Bajet 2018 peringkat jawatankuasa semalam, Nazri berkata hak untuk tidak didiskriminasi atas alasan agama merupakan hak asas yang terkandung dalam perlembagaan.

“Apa-apa yang bercanggah dengan perlembagaan tidak boleh dikompromi. Tidak boleh (MAS larang pramugari bertudung)," katanya ketika menjawab soalan Ahmad Marzuk Shaary (PAS-Bachok).

Anggota Parlimen Kuala Terengganu Datuk Raja Kamarul Bahrin Raja Ahmad turut menuntut syarikat penerbangan itu tidak lagi menghidangkan arak kepada pelanggan.

Sebelum ini meledak isu larangan memakai tudung kepada pekerja kaunter hadapan oleh beberapa hotel.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS