PKR mahu rujuk soalan protes jalanan ke Mahkamah Persekutuan
Tiga pemimpin PKR hari ini memohon kepada Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur supaya dibenar merujuk soalan mengenai kesahihan protes jalanan kepada Mahkamah Persekutuan.
Ini susulan kes ADUN Teja Chang Lih Kang, ADUN Semambu Lee Chean Chung dan
bekas setiausaha politik kepada naib presiden PKR Tian Chua, Rozan Azen Mat Rasip didakwa di bawah Akta Perhimpunan Aman kerana mengambil bahagian dalam perhimpunan.
Hari ini, peguam mereka Eric Paulsen merujuk keputusan Mahkamah Persekutuan tahun lalu apabila beliau memberitahu Hakim Datuk Azman Abdullah bahawa persoalan perlembagaan itu perlu dirujuk memandangkan mahkamah majistret memutuskan terdapat kes prima facie.
Dilaporkan sebelum ini bahawa ketua hakim negara ketika itu, Tun Arifin Zakaria yang mempengerusikan panel lima anggota memutuskan bahawa mahkamah tertinggi "tidak akan menjawab soalan akademik" sehinggalah keputusan dibuat sama ada tertuduh memang mengambil bahagian dalam protes jalanan.
Paulsen berkata memandangkan anak guamnya telah diperintahkan untuk mengemukakan pembelaan mereka tiga bulan lalu, Mahkamah Tinggi sepatutnya membenarkan soalan itu dirujuk ke Mahkamah Persekutuan.
Walaupun Hakim Azman bersetuju dengan hujah itu, Timbalan Pendakwa Raya Jaizah Jaafar Sidek dan Nadia Zulkefli berkata mereka telah menerima arahan untuk membantahnya.
Jaizah berkara, bahawa mereka juga membantah penangguhan prosiding kerana ini adalah kes 2015.
Hakim Azman berkata beliau akan membaca hujah yang difailkan oleh kedua-dua pihak berhubung permohonan itu dan membuat keputusan pada 12 Disember nanti.

