Johor bentang bajet lebihan 8 tahun berturut-turut
DUN JOHOR l Kerajaan Johor hari ini membentangkan Bajet 2018 dengan catatan lebihan sebanyak RM1.141 juta.
Ia adalah bajet lebihan untuk tahun kelapan berturut-turut sejak 2011.
Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, anggaran hasil pada 2018 adalah sebanyak RM1.504 bilion berbanding perbelanjaan RM1.503 bilion.
"Perbelanjaan mengurus, termasuk caruman kepada Kumpulan Wang Pembangunan berjumlah RM1.503 bilion yang terdiri daripada RM493.358 juta untuk emolumen dan RM1 bilion untuk perbelanjaan lain-lain," katanya.
Beliau menyatakan demikian ketika pembentangan bajet bertema 'Bajet Johor 2018: Membangun Dekad Baharu Yang Sejahtera Untuk Johor' di Dewan Undangan Negeri Johor di Kota Iskandar hari ini.
Mohamed Khaled berkata, bagi perbelanjaan pembangunan pula sebanyak RM700 juta diperuntukkan yang akan ditampung melalui Kumpulan Wang Pembangunan, di mana RM610 juta merupakan caruman daripada Akaun Hasil Disatukan dan baki RM90 juta adalah daripada hasil dan terimaan lain.
Menurut beliau, secara keseluruhannya perbelanjaan bajet adalah bagi melaksanakan 153 titik sentuhan yang semuanya disusun mengikut lima strategi khusus, termasuk menggalak pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan dengan mempelbagaikan sektor pertumbuhan.
"Untuk setengah tahun pertama 2017, Johor mencatat pelaburan untuk sektor pembuatan sebanyak RM1.4 bilion, iaitu 8.23 peratus daripada keseluruhan pelaburan di Malaysia.
"Ini menjadikan pelaburan terkumpul sejak 2010 sehingga Jun tahun ini sebanyak RM113 bilion, iaitu yang tertinggi di Malaysia," katanya.
Menurut Mohamed Khaled, dua sektor utama, iaitu pembuatan dan perkhidmatan kekal menjadi penyumbang utama kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Johor, masing-masing bernilai RM32 bilion (31 peratus) dan RM36.2 bilion (34 peratus).
"Secara asasnya, unjuran semula pertumbuhan ekonomi Johor pada 2017 telah berkembang pada kadar 5.9 hingga 6.3 peratus lebih tinggi daripada unjuran asal, iaitu 4.5 hingga 5.5 peratus semasa ucapan bajet yang lepas," katanya.
Bagi 2018, unjuran pertumbuhan ekonomi Johor dianggarkan sekitar 5.5 hingga enam peratus, katanya.
- Bernama

