Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mulai tahun depan, pinjaman YPJ tiada caj dan faedah
Diterbitkan:  Nov 23, 2017 5:56 PM
Dikemaskini: 10:20 AM

DUN JOHOR l Mulai tahun hadapan, semua pinjaman pengajian tinggi Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) tidak akan dikenakan sebarang caj dan faedah ke atas jumlah pinjaman, demikian sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor diberitahu hari ini.

Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata kerajaan negeri bersetuju untuk memansuhkan kos perkhidmatan empat peratus bagi peminjam baharu dan peminjam yang dijadualkan mula membayar balik pinjaman YPJ pada tahun hadapan.

"Pemberian pinjaman sebegini dikenali sebagai 'qard hassan' yang terdapat dalam sistem kewangan Islam," katanya ketika membentangkan Bajet Johor 2018 di persidang tersebut di Kota Iskandar.

Beliau berkata sehingga hari ini, YPJ telah memperkenalkan pelbagai penambahbaikan kepada Skim Pinjaman Pelajaran YPJ termasuk pemberian pengecualian bayaran balik pinjaman bagi peminjam yang berjaya mendapat Diploma dan Ijazah Sarjana Muda Dengan Kepujian Kelas Pertama.

Beliau berkata YPJ juga sudah memberikan insentif dalam bentuk diskaun sehingga 50 peratus bayaran balik bagi peminjam yang membuat bayaran balik dalam tempoh-tempoh tertentu.

Mohamed Khaled berkata YPJ akan terus membiayai pelajar dengan memperuntukkan RM20.35 juta bagi pinjaman pelajaran ke institusi pengajian tinggi (IPT) sekali gus akan memberi manfaat kepada kira-kira 3,290 mahasiswa.

"Peruntukan itu akan disalurkan melalui antaranya Biasiswa Sultan Ibrahim kepada lima pelajar cemerlang Johor yang menerima tawaran menyambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjana dan Doktor Falsafah serta Biasiswa Sukan Atlet Johor," katanya.

Beliau turut mengumumkan satu skim pinjaman baharu berjumlah RM500,000 yang akan diperkenalkan kerajaan negeri khusus untuk membiayai 20 pelajar cemerlang Johor yang ditawarkan tempat pengajian di mana-mana universiti antarabangsa swasta yang terletak dalam EduCity, Iskandar Malaysia.

"Kita maklum bahawa Johor merupakan antara negeri yang mempunyai banyak universiti serta IPT antarabangsa dan menawarkan pelbagai program pengajian. Jadi, kerajaan negeri tidak akan membiarkan anak-anak Johor sekadar menjadi pemerhati kepada semua ini kerana kita berpeluang untuk merebut peluang belajar di institusi berprestij ini,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS