Seorang suami terpaksa merengkok di penjara selama tujuh bulan kerana menampar, menumbuk, mencekik leher dan menendang isterinya gara-gara wanita itu tidak menjawab panggilan telefonnya.

Majistret Haslinda A Raof menjatuhkan hukuman itu ke atas Ng Boon Meng, 43, yang tidak bekerja, selepas tertuduh mengaku bersalah dengan sengaja mendatangkan cedera kepada Tan Suh Huai, 41, seorang eksekutif pentadbiran di sebuah agensi pelancongan.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di rumah mereka di Taman Pandan Indah, Pandan Indah pada 1.30 tengah hari, 10 Ogos lepas mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM4,000 atau kedua-duanya.

Mahkamah memerintahkan Ng menjalani hukuman penjara itu bermula dari tarikh dia ditangkap pada 11 Ogos lepas.

Mengikut fakta kes, pada 10 Ogos, pukul 1.30 tengah hari, tertuduh telah pulang ke rumah dan memarahi isterinya kerana tidak menjawab panggilan telefon pada pukul 8.15 pagi hari sama dan mangsa memberitahu dia tidak menyedari panggilan itu kerana berada di sebuah kedai makan bersama rakan-rakannya.

Tertuduh yang berang dan tidak berpuas hati dengan alasan isterinya kemudian menampar muka mangsa beberapa kali, mencekik leher sehingga merah, menendang kaki, menumbuk perut dan menarik bibir mangsa sehingga berdarah sambil berterusan bertanya kenapa mangsa tidak menjawab panggilannya itu.

angsa menangis dan menjerit sebelum berlari ke tingkat atas rumah, memanggil anak lelakinya berusia 17 tahun sebelum kedua-duanya keluar dari rumah dan membuat laporan polis.

Hasil siasatan mendapati tertuduh sering kali memukul isterinya setiap kali perselisihan faham berlaku.

Ketika rayuan, tertuduh yang tidak diwakili peguam memberitahu dia tidak akan mengulangi perbuatan itu dan merayu kepada mahkamah supaya memberikan peluang kepadanya untuk kembali kepada isteri dan memperbaiki diri.

Timbalan Pendakwa Raya Raihanah Abdul Razak memohon hukuman berbentuk pengajaran kerana sebagai seorang suami, tertuduh seharusnya melayan isteri dengan baik dan sebarang permasalahan rumah tangga patut diselesaikan dengan cara baik bukannya mengambil tindakan di tangan sendiri.

'Kerana kasut'

Sementara itu, seorang lelaki yang videonya menjadi tular gara-gara dikatakan menumbuk seorang pemuda ketika membeli kasut di hadapan butik Adidas, di sebuah pusat beli-belah dua minggu lepas, didakwa di Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur hari ini.

Mohammad Fikry Mamot, 29, seorang penganggur mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mahyudin Mohmad Som.

Tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera parah ke atas pembantu pemasaran Faiz Hariz Nurhuda, 22, di tingkat 3 di hadapan butik Adidas KLCC, Jalan Ampang di sini pada 6 pagi, 11 November lepas mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nur Farah Adilah Noordin menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin manakala Mohammad Fikry yang tidak diwakili peguam merayu jaminan rendah dengan alasan dia tidak bekerja dan mempunyai tiga anak.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 26 Dis untuk sebutan semula kes.

- Bernama