Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Baling bom petrol dalam kawasan surau, seorang lagi direman
Diterbitkan:  Nov 23, 2017 7:10 PM
Dikemaskini: 11:13 AM

Seorang ejen insurans ditahan reman enam hari bagi membantu siasatan berhubung kes membaling bom petrol atau molotov cocktail ke dalam kawasan surau di Damansara Damai Ahad lalu.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan penolong pendaftar Mahkamah Majistret Petaling Jaya Mazrah Mohamed bermula hari ini selepas membenarkan permohonan polis untuk menahan reman lelaki berusia 40 tahun itu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Mohd Zani Che Din berkata, lelaki itu ditangkap di sebuah restoran di Petaling Jaya pada jam  7 malam, semalam.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan," katanya.

Semalam, dua lelaki yang dipercayai membaling bom petrol itu turut ditahan reman seminggu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.15 pagi Ahad lepas, kesemua jemaah surau Al-Huda yang sedang menunaikan solat Subuh dilaporkan selamat setelah botol yang berisi minyak petrol dipercayai dibaling oleh dua lelaki yang menaiki motosikal ke arah surau itu tetapi ia tidak meletup.

Kejadian tersebut disedari seorang daripada jemaah surau yang baharu selesai menunaikan solat Subuh apabila melihat kesan terbakar berhampiran pintu pagar surau berkenaan.

- Bernama
 

Lihat Komen
ADS