Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Najib dan tiga lagi berjaya batalkan saman Zaid

Mahkamah Tinggi hari ini membenarkan permohonan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan tiga pihak lagi untuk membatalkan saman difailkan bekas menteri Datuk Zaid Ibrahim berhubung isu 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Pesuruhjaya Kehakiman Rohani Ismail membuat keputusan itu selepas mendapati tuntutan Zaid terhadap perdana menteri, 1MDB, kerajaan Malaysia dan anak tiri Najib, Riza Shariz Abdul Aziz tidak mendedahkan satu kausa tindakan yang munasabah, mengaibkan, remeh dan menyusahkan serta penyalahgunaan proses mahkamah.

Rohani berkata Zaid tidak mempunyai locus standi untuk memfailkan tuntutan itu kerana beliau bukan seorang pegawai, ahli pemegang saham atau ejen 1MDB serta tidak diberi kuasa oleh Lembaga Pengarah 1MDB untuk membawa tindakan ini terhadap kesemua defendan bagi manfaat 1MDB dan kerajaan.

“Sekiranya tindakan ini adalah suatu tindakan perwakilan bagi pihak dan untuk manfaat semua rakyat dan pembayar cukai di Malaysia, plaintif (Zaid) didapati gagal untuk menunjukkan bahawa wang 1MDB telah ditukar atau disalahgunakan oleh Najib bagi kegunaan orang lain,” katanya sambil menambah tiada butiran mengenai dakwaan itu dalam tuntutan plaintif.

Hakim itu berkata tindakan plaintif terhadap 1MDB tidak mempunyai merit dan tidak sepatutnya dikaitkan dalam saman berkenaan.

Rohani juga berkata tuntutan plaintif gagal mematuhi peruntukan Aturan 18 Kaedah 12 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 apabila gagal memplidkan fakta-fakta yang material bagi tuntutan dibuat oleh plaintif terhadap kesemua defendan.

“Setelah mempertimbangkan hujahan dikemukakan kesemua pihak, mahkamah memutuskan bahawa permohonan kesemua defendan adalah dibenarkan dengan kos RM4,000 dibayar oleh plaintif kepada setiap defendan,” kata Rohani.

Prosiding itu dihadiri peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun mewakili perdana menteri, peguam Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos mewakili Riza Shariz, peguam Datuk Tan Hock Chuan mewakili 1MDB dan Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan mewakili kerajaan manakala Zaid diwakili peguam Americk Singh Sidhu.

Pada 17 Ogos tahun lepas, Zaid memfailkan saman itu untuk mendapatkan kembali wang RM2.6 bilion dan RM42 juta yang didakwa dimasukkan ke dalam akaun Najib berhubung isu 1MDB.

Dalam pernyataan tuntutan, Zaid mendakwa Najib telah melanggar tanggungjawab fidusiari apabila beliau menerima dana berkenaan dan didakwa memberi kewangan kepada Riza.

Oleh itu, Zaid menuntut perintah mahkamah supaya Najib membayar semula RM2.6 bilion kepada 1MDB dan RM42 juta kepada kerajaan Malaysia serta faedah dua peratus ke atas wang itu.

Sementara itu, mahkamah membenarkan permohonan Zaid untuk menarik balik saman pemula difailkan terhadap AmBank Islamic Berhad bagi memohon bank itu mendedahkan beberapa akaun yang didakwa milik perdana menteri di bank berkenaan membabitkan isu dana berjumlah RM2.6 bilion.

Mohd Hafarizam berkata Pesuruhjaya Kehakiman Rohani membenarkan permohonan itu dengan kebebasan untuk memfailkan semula tindakan saman berkenaan.

“Mahkamah turut memerintahkan plaintif (Zaid) untuk membayar kos RM2,000 terhadap perdana menteri selaku pencelah dalam kes saman itu dan pihak AmBank selaku defendan,” kata peguam itu.

Pada 14 Dis 2016, Najib memohon untuk menjadi pencelah dalam saman pemula ex-parte (sebelah pihak) difailkan Zaid terhadap AmBank.

Dalam saman pemula yang difailkan pada 21 Okt tahun lepas, Zaid antaranya memohon perintah mahkamah untuk membenarkannya atau peguamnya memeriksa dan mengambil salinan kemasukan yang dibuat dalam beberapa akaun AmBank Islamic Berhad yang didakwa milik Najib. -Bernama

Lihat Komen
ADS