Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Gobind wakili bekas wartawan Utusan
Diterbitkan:  Nov 23, 2017 8:53 PM
Dikemaskini: 3:34 PM

Kesatuan Kebangsaan Wartawan (NUJ) Malaysia melantik peguam Gobind Singh Deo mewakili bekas pengerusi NUJ cawangan Utusan Melayu, Amran Ahmad bagi memfailkan semakan kehakiman terhadap kes pemecatan beliau daripada syarikat itu di Mahkamah Tinggi.

Menurut Majlis Jawatankuasa NUJ, kes ini sangat penting bukan sahaja demi masa depan kesatuan wartawan berkenaan, bahkan kesemua kesatuan sekerja di negara ini.

Malah jelasnya, Kongres Kesatuan Sekerja (MTUC) turut memberikan nasihat perundangan untuk memfailkan semakan kehakiman tersebut.

"Jika keputusan oleh Mahkamah Perusahaan dalam kes ini tidak melalui semakan kehakiman dan kekal begitu, NUJ khuatir kesatuan sekerja di negara ini takut untuk bersuara dalam menegakkan perjuangan mereka," jelasnya dalam kenyataan media.

Pada 24 oktober lalu, Amran gagal dalam tuntutannya di Mahkamah Perusahaan di Kuala Lumpur yang mendakwa dia dibuang kerja secara salah oleh syarikat itu pada 2009 selepas mengadukan transaksi syarikat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pengerusi mahkamah itu Siti Salwa Musa memutuskan Amran bersalah memfitnah pihak pengurusan dan syarikat UMMB terhadap tiga pertuduhan melibatkan penerbitan tiga artikel di Malaysiakini dan Harakahdaily.

Artikel-artikel itu merujuk kepada isu tiang gol yang didakwa terlalu mahal serta pengubahsuaian pejabat cawangan Utusan Melayu Pulau Pinang.

NUJ dalam kenyataannya berpendapat, kes melibatkan bekas wartawan Utusan Malaysia itu bukan hanya berkaitan kes individu yang bergelar pengerusi cawangan NUJ semata-mata, tetapi bakal menjadi rujukan memabbitkan pemimpin kesatuan sekerja di masa depan.

"Jika mengkritik, mempertikai keputusan majikan dan melaporkan kepada pihak berkuasa atas kapasiti kesatuan sekerja dianggap fitnah, maka sukarlah kesatuan sekerja di negara ini untuk bergerak sebaliknya hanya boleh memuji syarikat semata-mata," jelasnya.

Lihat Komen
ADS