Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Pasaran hartanah: 'Johor perlu ambil tindakan segera'

ULASAN Bank Negara Malaysia (BNM) telah memberi amaran mengenai keadaan ketidakseimbangan pasaran hartanah yang semakin kritikal di Johor.

BNM dalam Buletin Suku Tahunan 2017, menyatakan bahawa negeri Johor mempunyai jumlah rumah yang tidak terjual yang tertinggi di Malaysia pada kadar 27 peratus daripada jumlah hartanah yang tidak terjual di Malaysia.

Punca kepada banyak rumah tidak terjual adalah disebabkan oleh ketidakpadanan harga rumah dengan kemampuan isi rumah di Johor yang semakin hari semakin kritikal.

Kewujudan rumah-rumah mahal atau tidak mampu milik semakin mendominasi pasaran perumahan di Johor.

Sepertimana kita maklum, makin ramai generasi muda di Johor yang tidak memiliki rumah.

Atas kegagalan ini, BNM telah memberi amaran terhadap keadaan ini.

Saya menggesa agar kerajaan negeri Johor berhati-hati dalam meluluskan sebarang projek perumahan akan datang.

Saya juga ingin memetik laporan rasmi oleh Khazanah Research Institute (KRI) dalam laporannya "Making Housing Affordable", yang juga meletakkan Johor sebagai julat 4.2 pada tahun 2016 yang meletakkan rumah di Johor sebagai "seriously unaffordable" atau sangat tidak mampu milik berdasarkan pendapatan median rakyat Johor.

Jangan biarkan masalah ini berlarutan sehingga pihak lain terpaksa membantu membina rumah mampu milik bagi memenuhi permintaan rakyat hari ini.

Sudah menjadi tanggungjawab kerajaan negeri bagi memastikan penyediaan rumah mampu milik di Johor diselia dengan baik.

Justeru, saya ingin mengingatkan kerajaan negeri Johor untuk bertindak segera agar masalah ini tidak berlarutan dan rakyat mendapat manfaat yang terbanyak dalam sebarang pembinaan rumah kediaman di Johor.


SALAHUDDIN AYUB adalah naib presiden Pakatan Harapan nasional dan timbalan presiden Parti Amanah Negara.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
 

Lihat Komen
ADS