Gugur pemimpin tabur duit, ponteng parlimen
Umno harus mengketepikan calon yang mempunyai imej dan latar belakang tidak baik bagi menarik semula minat pengundi untuk mengundi Umno kata bekas naib presiden parti itu, Tan Sri Muhammad Muhammad Taib.
Menurut bekas menteri besar Selangor itu, pemimpin yang gemar menabur duit kepada pengundi dan penyokong seharusnya digugurkan daripada menjadi calon memandangkan cara sedemikian tidak lagi berkesan.
“Ini zaman media sosial bukannya zaman bagi duit. Jika orang berduit yang menjadi ketua, bermakna hanya orang berduit akan menang dan jadi ketua namun tidak ada idea untuk memimpin.
“Hanya mahu pegang jawatan, dan kemudian minta projek dari menteri untuk jadi lebih kaya. Bila dah kaya, apa dia peduli dengan orang bawah.
“Bila waktu hendak mengundi belah bahagi di Parlimen dia tidak datang. Apa guna jadi pemimpin sombong, angkuh, tidak peduli kehadiran di Parlimen. Orang macam ini patut digugurkan semasa pilihan raya,” katanya.
Muhammad berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media Menjelang Perhimpunan Agung Umno di Pejabat Umno Selangor, di Shah Alam, hari ini.

Muhammad terdahulu ditanya mengenai sikap segelintir pemimpin Umno yang hanya aktif dan turun padang bertemu rakyat apabila tiba musim pilihan raya sahaja.
Isnin lalu, seramai 80 Ahli Parlimen BN tidak hadir pada pengundian belah bahagi rang undang-undang perbekalan (Bajet 2018) peringkat jawatankuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).
Ia menyebabkan Bajet 2018 untuk KPDNKK hampir tidak lulus di peringkat jawatankuasa.
Namun, bajet tersebut akhirnya diluluskan dengan satu undi majoriti, iaitu 52 anggota parlimen mengundi untuk menyokong manakala 51 yang lain membantah.
Manakala, dua anggota parlimen dari PAS pula berkecuali.
Muhammad berkata pemimpin Umno sendiri perlu membersihkan diri menjelang pilihan raya akan datang kerana rakyat sudah meluat lihat pemimpin tidak bertanggungjawab, mengabaikan rakyat serta mementingkan diri.
Muhammad bagaimanapun tidak menamakan secara spesifik pemimpin- pemimpin Umno yang mempunyai sifat tidak baik serta imej buruk.
Namun menyatakan antara pemimpin yang perlu dicontohi Umno ketika memilih calon pada pilihan raya akan datang adalah bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Wahid Omar yang juga merupakan Pengerusi Permodalan Nasional Bhd (PNB).
Muhammad pernah ditahan di lapangan terbang Brisbane pada Disember 1996 kerana tidak memaklumkan kepada pihak berkuasa Australia bahawa beliau membawa bersamanya matawang Singapura, New Zealand dan Ringgit Malaysia bernilai AS$1 juta, berdasarkan kadar tukaran ketika itu
Sewaktu memberi keterangan dalam mahkamah, beliau memberikan alasan tidak memahami bahasa Inggeris dan kemudiannya didapati tidak bersalah.

