Seorang mangsa kebakaran substesen SESB meninggal dunia
Seorang daripada lima pekerja Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) yang melecur dalam kebakaran di pencawang SESB di Wawasan Plaza di Kota Kinabalu Rabu lepas, meninggal dunia malam tadi.
Kassim Lajim, 52, meninggal dunia sekitar tengah malam tadi di Hospital Queen Elizabeth (QEH) di Kota Kinabalu, menurut kenyataan SESB hari ini.
Jenazahnya disemadikan di kampung asalnya, Kampung Sungai Damit, Tuaran, sebelum solat Jumaat hari ini.
“Allahyarham Kassim berkhidmat dengan SESB sejak 1983 dan menyertai pasukan dalam operasi memotong sambungan bekalan elektrik haram,” menurut kenyataan itu.
Allahyarham bersama empat lagi pekerja berusia antara 25 dan 65 tahun, melecur selepas pencawang itu meletup dan terbakar dalam insiden pada 10.55 malam Rabu.
Empat mangsa lagi, dua daripadanya kritikal, masih menerima rawatan di QEH.
- Bernama

