Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam hari ini mengekalkan keputusan bersalah Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad yang mengajar Islam tanpa tauliah di sebuah surau di Klang pada 2011.

Walau bagaimanapun, hakim syarie Salehan Yatim bersetuju untuk mengurangkan denda yang dikenakan daripada RM2,900 kepada RM1,900.

Hakim berkata, beliau mengambil maklum bahawa denda RM2,900 boleh menyebabkan Khalid kehilangan kerusinya dan Shah Alam pula kehilangan wakil rakyat yang dipilih. Beliau juga berkata, bahawa ini adalah kesalahan pertama pengarah komunikasi AMANAH itu.

Dengan keputusan hari ini, Khalid layak bertanding pada pilihan raya umum ke-14 memandangkan wakil rakyat hanya kehilangan kelayakan jika mereka didenda lebih daripada RM2,000 atau dipenjarakan selama lebih daripada satu tahun.

Beliau diwakili peguam, Zulqarnain Lukman sementara Aiman Roslan bertindaka sebagai timbalan pendakwa raya syarie.

Khalid telah membayar denda RM2,900 apabila beliau didapati bersalah oleh Mahkamah Rendah Syariah Klang pada 19 Januari.

Mahkamah Rendah Syariah Klang menjatuhkan hukuman denda RM2,900 atau penjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut ke atas Khalid atas kesalahan mengajar tanpa tauliah di Surau Taman Semanta, Klang, pada 16 Ogos 2011.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 119 (1), Enakmen Pentadbiran Undang-undang Islam Selangor.

Semasa perbicaraan, Khalid berkata beliau tidak melakukan sebarang kesalahan kerana dirinya hanya berkongsi pengalamannya ke Gaza.