Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kita tak boleh jadi bodoh atau oportunis, kata Aziz Bari
Diterbitkan:  Nov 24, 2017 5:23 PM
Dikemaskini: 9:43 AM

Kenyataan pakar perlembagaan Dr Aziz Bari mengenai Tun Dr Mahathir Mohamad menimbulkan rasa kurang senang sesetengah pihak.

Malaysiakini difahamkan terdapat pemimpin DAP dan BERSATU yang menyatakan rasa tidak puas hati terhadap kenyataan bekas pensyarah undang-undang dari Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) itu.

Ketika dihubungi Aziz yang merupakan anggota DAP, enggan memberi komen sama ada kenyataan itu telah menimbulkan kecaman. 

Bagaimanapun, Aziz berkata pandangannya bukan mengenai politik tetapi soal prinsip.

"Saya fikir kita mempunyai hak untuk tidak dilihat sebagai sekumpulan orang bodoh dan oportunis politik.

"Saya mengatakan sesuatu mengenai prinsip, iaitu mengenai hakikat bahawa kerajaan bertanggungjawab (terhadap Operasi lalang dan kes liwat Anwar Ibrahim).

"Ia bukan mengenai politik. Dan saya rasa politik harus berdasarkan prinsip," kata Aziz kepada Malaysiakini.

Beliau berkata Pakatan Harapan mesti menunjukkan tahap komitmen terhadap perbezaan pendapat berkaitan isu-isu penting yang mempengaruhi negara.

Semalam, pakar perlembagaan itu mengatakan adalah salah bagi Mahathir (gambar) untuk terus menegaskan bahawa dia bertindak atas nasihat polis berkenaan Operasi Lalang dan kes liwat membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Operasi Lalang merupakan operasi penahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada tahun 1987, yang menyaksikan ramai ahli politik dan aktivis pembangkang ditahan tanpa bicara.

Aziz berkata dari sudut pandangan moral, lebih baik bagi Mahathir, yang kini mengetuai Pakatan Harapan (HARAPAN) mengakui kesilapannya.

"Kita tahu Mahathir sedang bermain politik tetapi dalam proses itu, dia telah memperbodohkan dirinya sendiri," katanya.

Aziz juga menggesa HARAPAN menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk meneliti perkara itu ini jika gabungan tersebut membentuk kerajaan persekutuan.

 

Lihat Komen
ADS