Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sultan Johor gesa insentif khas untuk perumahan
Diterbitkan:  Nov 24, 2017 11:08 PM
Dikemaskini: 3:15 PM

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menggesa Putrajaya mempertimbangkan insentif khas untuk pasaran perumahan di negeri itu.

Dalam ucapannya di majlis Anugerah Starproperty.my di Johor Bahru hari ini, Sultan Ibrahim bertitah bahawa perkara itu perlu memandangkan negeri itu berdekatan dengan negara besar, Singapura.

"Anda tidak boleh mempunyai dasar perumahan yang sama di seluruh negara. Bagaimana anda boleh bandingkan kami dengan Pahang atau Kedah, kerana mereka tidak mempunyai jiran besar seperti Singapura," ujar titah baginda yang disiar menerusi laman Facebook.

Sultan Ibrahim juga menggambarkan dasar perumahan yang ada sekarang sebagai "flip-flop" dan menakutkan calon pelabur.

Sementara itu, Sultan Ibrahim berkata baginda mahukan semua rakyat Johor memiliki rumah tanpa mengira kaum.

"Saya mahu semua kaum memiliki rumah, bukan hanya orang Melayu. Tetapi harga rumah sekarang terlalu tinggi untuk kebanyakan orang, mereka tidak mampu membelinya," katanya.

Titah Sultan Johor itu susulan laporan Bank Negara Malaysia (BNM) baru-baru ini yang mengesahkan lebihan penawaran pasaran hartanah negara susulan harga rumah yang lebih tinggi berbanding kemampuan isi rumah Malaysia.

Dalam laporan itu, Johor juga disebut mempunyai jumlah unit kediaman terbesar tidak terjual iaitu sebanyak 27 peratus berbanding Selangor (21 peratus), Kuala Lumpur (14 peratus) dan Pulau Pinang (lapan peratus).

Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dilapor berkata masalah itu mungkin pada awalnya disebabkan dasar kerajaan pusat pada 2015 yang menetapkan hanya rumah berharga RM1 juta dan ke atas boleh dijual kepada warga asing.

Lihat Komen
ADS