Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
S'wak akan buat 'pengumuman lengkap' hak istimewa, MA63
Diterbitkan:  Nov 25, 2017 6:19 AM
Dikemaskini: 10:25 PM

Satu “pengumuman lengkap” akan dibuat dalam masa terdekat berhubung langkah seterusnya diambil pasukan petugas khas peringkat tinggi untuk berunding semua perkara berkaitan hak-hak istimewa Sarawak dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

“Kami sedang mengadakan perbincangan dengan ketua menteri berhubung perkara berkenaan dan beliau (ketua menteri) juga telah membincangkan perkara itu dengan perdana menteri,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan laman web inap desa Dewan Perdagangan dan Perindustrian Dayak (DCCI) di Kuching semalam.

Semasa diminta mengulas lanjut tentang perkara itu, timbalan ketua menteri hanya berkata “pengumuman lengkap itu akan dibuat kemudian”.

Kerajaan negeri Sarawak mahu Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengetuai pasukan petugas khas persekutuan untuk berunding semua perkara berkaitan hak-hak istimewa negeri dan Perjanjian Malaysia 1963.

Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg sebelum ini berkata pasukan petugas khas bagi kerajaan negeri Sarawak akan diketuai Uggah bersama-sama dua lagi timbalan ketua menteri Tan Sri Dr James Masing dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan sebagai anggotanya.

Pada 9 November, Dewan Undangan Negeri Sarawak sebulat suara menerima pakai usul yang memberi mandat kepada kerajaan negeri membentuk pasukan petugas khas peringkat tinggi untuk berunding dengan Putrajaya berhubung semua perkara berkaitan hak-hak istimewa negeri dan Perjanjian Malaysia 1963.

Terdahulu dalam ucapannya, Uggah menggesa masyarakat dan usahawan Dayak untuk mengikuti perkembangan terkini pelbagai inisiatif yang sedang dilaksanakan kementeriannya untuk membangunkan sektor pertanian negeri.

Pelbagai usaha sedang dilaksanakan oleh kementeriannya untuk menjadikan Sarawak sebagai pengeluar utama dan pengeksport produk makanan, katanya dan menurutnya Sarawak mempunyai tanah yang luas yang boleh dibangunkan untuk pengeluaran produk makanan.

- Bernama
 

Lihat Komen
ADS