Panik di Oxford Street London selepas laporan berlaku tembakan
GLOBAL Keadaan panik tercetus di kalangan orang ramai yang membeli-belah sempena Krismas di Street Oxford London pada petang Jumaat apabila anggota bersenjata berkejar sebagai respon terhadap laporan tembakan dilepaskan di kawasan itu, tetapi polis berkata kemudian mereka tidak menemui bukti ianya berlaku atau ada mangsanya.
Oxford Street dibanjiri pembeli yang mengambil kesempatan jualan Black Friday apabila kejadian itu berlaku tidak lama selepas senja.
Polis Metropolitan (MET) London berkata dalam satu kenyataan, mereka tidak menemui bukti tembakan, mangsa atau sebarang suspek.
"Mengikut maklumat yang diterima, pemeriksaan MET itu sejajar dengan operasi kami yang sedia ada, seolah-berlaku insiden keganasan, termasuk menghantar anggota bersenjata," kata polis dalam satu kenyataan.
Polis Pengangkutan British memaparkan imej CCTV di Twitter mengenai dua orang lelaki, dengan mengatakan bahawa ia percaya satu perbalahan telah tercetus di antara dua orang lelaki itu di stesen bawah tanah Oxford Circus dan berkata ia mahu bercakap dengan lelaki itu, "yang ia percaya mungkin mempunyai maklumat tentang kejadian itu dan punca kejadian itu."
Seorang saksi Reuters berkata pengunjung yang panik melarikan diri dari Oxford Street dan stesen bawah tanah Oxford Circus.
Saksi itu melihat seorang wanita warga emas dan seorang lelaki yang mendukung seorang kanak-kanak terjatuh dalam keadaan terburu-buru itu.
"Orang ramai berlari dalam semua arah, saya tak tahu ke mana nak lari," kata saksi itu.
Polis pengangkutan berkata mereka telah menerima satu laporan mengenai seorang wanita yang mengalami kecederaan ringan ketika berlaku keadaan panik itu.
Operator pengangkutan di bandaraya itu, Transport for London, berkata stesen Oxford Circus dan Bond Street, yang ditutup seketika akibat kejadian itu, kemudian dibuka semula.
- Reuters

