Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kerajaan Johor sedia kerjasama dengan pemaju tangani hartanah tak terjual

Kerajaan Johor bakal mengenal pasti kaedah sesuai dan terbaik bagi menangani masalah hartanah mewah tidak terjual di negeri itu.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata bagaimanapun, kaedah yang dicari adalah perlu mengikut kesesuaian dasar yang diperkenalkan sebelum ini.

Untuk itu, kerajaan negeri akan bekerjasama dengan semua pihak termasuk pemaju untuk menangani masalah tersebut.

"Tuanku (Sultan Johor) secara umum sentuh (soal berkenaan)… mungkin perlu dikaji soal kesesuaian dasar yang diperkenalkan… perkara yang dibangkitkan oleh Bank Negara itupun dalam perhatian kerajaan negeri.

“Kita akan cari yang terbaik bagaimana kita boleh atasi soal rumah yang mahal yang tidak terjual,” kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan Kem Kesihatan Pasir Gudang di Johor Bahru hari ini.

Mohamed Khaled mengulas titah Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar semalam yang mahukan kerajaan negeri bersama pemaju mencari penyelesaian mengatasi masalah harga rumah yang semakin tinggi dan gagal dimiliki.

Menteri Besar itu juga mengulas mengenai buletin suku tahunan Bank Negara baru-baru ini yang menyebut Johor sebagai negeri yang mempunyai peratusan tertinggi rumah tidak terjual iaitu sebanyak 27 peratus, diikuti Selangor (21 peratus), Kuala Lumpur (14 peratus) dan Pulau Pinang (lapan peratus).

Bank Negara turut dilaporkan berkata pasaran hartanah Malaysia kini berhadapan dengan masalah ketidakseimbangan dalam permintaan dan bekalan sehingga mengakibatkan banyak rumah tidak terjual dan ruang komersial yang tidak dihuni.

Mengenai Kem Kesihatan Pasir Gudang, Mohamed Khaled berkata ia berkonsepkan hospital bergerak menawarkan perkhidmatan kesihatan percuma antaranya pemeriksaan gigi, mata, tekanan darah dan kolesterol serta khidmat nasihat doktor dan pegawai farmasi.

Kem itu, di Aeon Mall Permas Jaya, diadakan hasil kerjasama Barisan Nasional Daerah Pasir Gudang, Persatuan Doktor-Doktor Johor, Yayasan Johor dan Rotary Club Johor Bahru.

- Bernama

Lihat Komen
ADS