Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Edra Power sedia kumpul RM5.28 bilion untuk stesen janakuasa

Edra Power Holdings Sdn Bhd bersedia untuk mengumpul pembiayaan berjumlah RM5.28 bilion melalui Sukuk untuk projek stesen janakuasa terbesar di Malaysia menjelang akhir tahun ini.

Syarikat tersebut sudah pun selesai melaksanakan eksesais ketekunan wajar lebih awal.

Naib Presiden II Kewangan Korporat dan Pegawai Khas syarikat tersebut, Fion Chan berkata, Edra sedang berusaha ke arah mendapatkan pembiayaan pada akhir tahun bagi memenuhi tempoh akhir yang ditetapkan dalam perjanjian pembelian tenaga dengan Tenaga Nasional Bhd (TNB).

TNB adalah pelanggan tunggal stesen janakuasa dijana gas berkenaan yang akan dibina di Alor Gajah, Melaka dan dijadual memulakan operasi komersial pada 2021.

"Kami sudah pun melancarkan memorandum maklumat dengan Suruhanjaya Sekuriti dan membuat pembentangan pelabur kami.

"Pelabur yang kami sasarkan adalah nama besar seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Kumpulan Wang Amanah Pencen, syarikat insurans seperti AIA serta beberapa syarikat pengurusan dana. Kami yakin akan mampu mencapai sasaran yang ditetapkan," katanya kepada Bernama.

Ditanya sama ada Edra hanya mencari pelabur tempatan, beliau berkata: "Disebabkan ringgit Maaysia sangat cair, kami mempunyai ringgit yang cukup untuk menyokong projek itu. Oleh itu kami memberi tumpuan utama kepada pasaran tempatan, tetapi sesiapa sahaja yang berminat boleh masuk dan melabur.”

Edra telah melantik CIMB Investment Bank sebagai penasihat utama di samping sebagai pengurus utama bersama dengan Maybank dan RHB Bank.

Sebanyak RM5.28 bilion daripada Sukuk atau struktur pembiayaan Islam itu merupakan 80 peratus daripada keseluruhan kos projek dengan baki 20 peratus atau kira-kira RM1.4 bilion diperoleh daripada Edra sebagai ekuiti

"Alasan kenapa syarikat ini memilih Sukuk ialah kerana Malaysia mahu menjadi hab pelaburan Islam dan kerana Sukuk mempunyai tempoh yang sangat panjang berbanding pengaturan pinjaman komersial," kata Chan.

Menurutnya, di bawah Sukuk, tempoh penggunaan pinjaman adalah antara empat hingga 20 tahun dan ini adalah sangat baik untuk pembangunan stesen janakuasa dan juga membolehkan Edra menawarkan tenaga lebih murah kepada pengguna.

"Kami mempunyai penarafan AA3 untuk Sukuk, iaitu penarafan tertinggi. Itu bermakna aliran tunai syarikat sangat sihat. Dengan mempunyai penarafan seperti itu meletakkan Edra setanding dengan syarikat setara lain dalam pasaran seperti stesen janakuasa Jimah East Power dan YTL," tambahnya.

Sementara itu, Naib Presiden 1 Untuk Pelaburan Strategik Edra, Chong Chooi Wan berkata, dengan projek Melaka itu memperoleh pembiayaan, syarikat tersebut, iaitu pengeluar tenaga bebas kedua terbesar di Malaysia berada di landasan untuk mencapai sasaran pertumbuhannya.

Langkah seterusnya ialah untuk Edra memulakan satu eksesais korporat baharu dalam usaha menawarkan lebih banyak saham untuk syarikat itu terus berkembang maju di Malaysia dan seluruh dunia.

"Kami menjangka eksesais korporat ini, yang kami jangka akan selesai sebelum pertengahan tahun depan, akan mendapat sokongan daripada pelabur tempatan dan asing yang kemudiannya boleh mengambil bahagian dalam pengembangan Edra di seluruh Asia, Timur Tengah dan Afrika," kata Chong.

Edra, dimiliki sepenuhnya oleh China General Nuclear Power Corp, kini mengendali stesen janakuasa di Bangladesh, Pakistan, Mesir dan Emiriah Arab Bersatu. -Bernama

Lihat Komen
ADS