Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Gerakan cabar DAP pertahan kritikan Sultan Johor terhadap Dr M
Diterbitkan:  Nov 26, 2017 3:15 PM
Dikemaskini: 7:28 AM

Gerakan hari ini mencabar pemimpin DAP mempertahankan kritikan Sultan Johor terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad yang didakwa menghina keturunan Bugis.

Setiausaha Agung Gerakan, Liang Teck Meng berkata, kegagalan DAP untuk membantah kenyataan bersifat perkauman itu menunjukkan sifat hipokrit mereka.

"Pemimpin-pemimpin DAP masih berdiam diri walaupun kenyataan Tun Dr Mahathir telah mengundang banyak kritikan yang sengit daripada pelbagai pihak, termasuk Perhimpunan Pemuda Bugis Makassar Indonesia, Dewan di-Raja Selangor dan yang terkini oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor.

"Ini menunjukan sifat hipokriti DAP yang keji, dwistandard dan tidak ikhlas terhadap antiperkauman," kata anggota Parlimen Simpang Renggam itu dalam satu kenyataan media.

Beliau berkata, pendirian itu bercanggah dengan sikap ditunjukkan pemimpin DAP seperti Lim Kit Siang, Lim Guan Eng dan Teresa Kok yang sebelum ini akan mengkritik kenyataan berunsur perkauman.

"Saya mencabar pemimpin DAP terutamanya pemimpin dan ahli parlimen DAP Johor, Teo Nie Ching dan Liew Ching Tong untuk mempertahankan kritikan Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor.

"Mereka harus bercakap serupa bikin dengan bangkit bersuara untuk menentang perkauman yang ditunjukkan oleh pemimpin mereka sendiri," katanya.

Kelmarin Sultan Ibrahim Iskandar Shah mengaku terasa dengan kenyataan Mahathir yang mengaitkan keturunan Bugis dengan lanun.

"Saya terasa juga. Saya keturunan Bugis, Sultan Selangor keturunan Bugis, Rakyat Johor banyak keturunan Bugis.

“Asal usul saya pun dari Riau Lingga. Banyak Bugis. Apa rasa orang Bugis," titah baginda.

Titah tersebut dibuat berikutan kenyataan Mahathir sebelum ini yang menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak balik ke Sulawesi, tempat asal bagi mereka yang berketurunan Bugis.

Antara lain kenyataan itu berbunyi: “Mungkin kerana dia (Najib Razak) berasal dari lanun Bugis. Entah macam mana dia sesat sampai ke Malaysia. Pergi baliklah ke Bugis."

Susulan itu Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah juga dilaporkan murka manakala Dewan di-Raja Selangor mahu satu siasatan dan tindakan undang-undang di bawah Akta Hasutan diambil ke atas Mahathir.

Mahathir bagaiamanapun berulang kali menafikan dakwaan itu dan menegaskan bahawa beliau hanya merujuk kepada Najib dan bukannya keseluruhan masyarakat Bugis.

Lihat Komen
ADS