'Mansuh kuota rumah mampu milik untuk BN Johor'
Pembangkang Johor sekali lagi menggesa pemansuhan skim Kuota Menegak Kerajaan (KMK) dalam permohonan perumahan mampu milik di negeri itu.
Ketua Pembangkang Gan Peck Cheng menyifatkan KMK hanyalah sistem kuota perumahan mampu milik untuk BN.
Di bawah sistem itu, sejumlah rumah mampu milik diperuntukkan sebagai kuota BN negeri, dan permohonan memerlukan surat sokongan daripada anggota dewan undangan negeri (ADUN) dari parti komponennya.
"Adakah sistem KMK untuk mengagihkan rumah di Johor benar-benar memberi manfaat kepada rakyat? Pengagihan menerusi parti politik pastinya akan berpihak kepada orang tengah yang mempunyai pengaruh politik sahaja.
"Adakah sistem ini adil kepada rakyat yang lain, yang tiada apa-apa kaitan dan kepentingan dengan parti mahupun ahli parti politik?" katanya dalam ucapan perbahasan Belanjawan Johor 2018 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, hari ini.
Justeru, beliau yang juga ADUN Penggeram berkata, pembangkang Johor mendesak agar skim itu dihapuskan kerana ia hanya menggalakkan amalan rasuah.
Gan mendakwa, daripada jumlah 119,696 permohonan yang dibuat untuk perumahan mampu milik, hanya 8.16 peratus atau 9,773 permohonan yang diluluskan.
Lebih daripada separuh daripada jumlah itu, iaitu 4,988, adalah daripada skim KMK iaitu melalui BN.
Pembangkang negeri telah membangkitkan isu itu sejak 2009. Kerajaan Johor pula tegas mempertahankannya.
Pada 2014, Gan mendakwa 30 peratus daripada perumahan mampu milik akan diperuntukkan kepada BN. Permohonan bagi unit lain pula di bawah kerajaan negeri.
Daripada kuota tersebut, dakwanya lagi, 60 peratus diberikan kepada Umno, 25 peratus kepda MCA dan 15 peratus kepada MIC.
Pada Mei 2015, Bernama memetik Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor Datuk Abd Latif Bandi berakta skim tersebut akan diteruskan.
"Ia berdasarkan undang-undang yang ada. Cuma di bawah KMK, kami memberi ruang kepada mereka yang kita tahu boleh dibantu, berdasarkan maklum balas daripada pemimpin masyarakat," katanya seperti dipetik.

