Terlibat dalam lima skandal rasuah sejak tahun 1990-an tetapi tidak pernah disabitkan, speaker dewan parwakilan rakyat Indonesia, Setya Novanto mungkin seorang ahli politik yang bernasib baik.

Sehinggalah minggu lepas, Novanto ditahan oleh badan antirasuah kerana skandal rasuah terbesar yang memberikan tamparan hebat kepada badan perundangan di negara itu.

Ahli politik berusia 62 tahun ini bagaimanapun menafikan sebarang salah laku dan menggesa parlimen serta parti politik yang diwakilinya tidak menyingkirkannya.

Peguamnya, Fredrich Yunadi berkata anak guamnya yakin akan dibersihkan.

"Di setiap mahkamah kita sentiasa menang," kata Yunadi kepada Reuters.

Bagaimanapun tuduhan terbaru terhadap Navanto menguatkan persepsi di kalangan rakyat Indonesia bahawa parlimen mereka, yang telah lama dianggap penuh dengan korupsi adalah sebuah institusi yang gagal.

Ahli politik dan penganalisis mengatakan bahawa ia tidak mungkin berubah, walau apa pun keputusan terhadap kes itu.

"Sebelum Setya Novanto, banyak ahli parlimen yang dipenjarakan dan tidak mempunyai kesan," kata Eva Sundari, anggota parlimen dari partai PDI-P, yang berada di gabungan pemerintah bersama Golkar yang disertai Novanto.

Suruhanjaya Pembasmian Rasuah, yang dikenal dengan KPK ditubuhkan pada tahun 2002 setelah kematian presiden Suharto.

Bob Lowry, seorang penganalisis Indonesia di Institut Hal Ehwal Antarabangsa Australia, berkata KPK tidak mempunyai pendekatan sistematik untuk menangani rasuah yang telah berakar umbi di semua lapisan agensi kerajaan dan parti politik.

"Anda tidak berurusan dengan individu, anda berurusan dengan struktur dan budaya keseluruhan," katanya.

Novanto ditahan badan antirasuah negara itu susulan dakwaan penglibatannya dalam kerugian AS$170 juta dalam skim kad pengenalan elektronik.

Beliau adalah ahli politik paling kanan republik itu yang ditahan oleh KPK.

Novanto ditangkap pada Jumaat malam tetapi penahanannya ditangguhkan bagi membolehkannya menerima rawatan akibat terlibat dalam kemalangan jalan raya sehari sebelum itu.