'Pesan ibu halang saya kaut untung atas orang miskin'
Individu terkaya Malaysia, Tan Sri Robert Kuok bukanlah tokoh yang popular di kalangan nasionalis, yang pernah menggesa agar perniagaannya diboikot kerana didakwa mengamalkan pencatutan.
Namun dalam memoir yang baru diterbitkan, 'Raja Gula' yang lahir di Johor Bahru itu berkata pesanan ibunya agar tidak mengaut keuntungan besar jika melibatkan barangan keperluan, sentiasa terpahat di dalam jiwa.
Malah Kuok berkata, beliau pernah menasihatkan kerajaan agar menghalang kenaikan harga barangan keperluan. Menurutnya untuk mencapai tujuan itu, beliau sendiri mengabaikan keuntungan.
"Dia (ibu) sentiasa menggesa saya, memandangkan beras dan gula adalah barangan keperluan, jangan sesekali mengamalkan pencatutan.
"Saya tahu apa yang dia maksudkan dengan pencatutan. Dalam perniagaan komoditi, jika anda membuat keuntungan antara satu setengah hingga dua peratus, ia masih dikira wajar.
"Sebaik sahaja keuntungan melebihi dua peratus, anda mula membuat perkara yang tidak baik," katanya dalam memoir itu yang diperolehi Malaysiakini.
Meramal harga gandum
Kuok berkata nasihat ibunya itu diamalkan di Malaysia, yang telah menyediakan tapak untuknya memulakan perniagaannya.
Begitu juga ketika belia berpeluang mengaut keuntungan besar selepas menjangka kenaikan harga gandum dengan tepat.
"Ketika nilai (mata wang) sterling Britain turun pada awal 1970-an, ia berlaku serentak dengan hasil tuaian yang merosot yang menyebabkan perubahan pada harga komoditi. Harga gandum meningkat sekali ganda.
"Saya beruntung. Sebelum kenaikan itu, intuisi saya memberitahu sesuatu yang dramatik bakal berlaku. Saya mengarahkan pembeli gandum saya untuk berunding bagi bekalan sepanjang tahun.
"Kami berjaya mendapat keperluan untuk 12 hingga 14 bulan. Tidak sampai beberapa minggu selepas itu, pasaran dunia melonjak," katanya.
Kuok berkata sebaik sahaja intuisinya dibuktikan, beliau mengadakan pertemuan degan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri ketika itu, Nasruddin Mohamed di Kuala Lumpur.

"Saya jelaskan kepadanya apa yang berlaku dalam pasaran gandum. Saya cadangkan agar beliau membuat tinjauan kepada pengilang gandum di Malaysia (kami menguasai hampir 50 peratus pasaran), bertanya berapa banyak gandum yang telah mereka beli, berapa harganya.
"Saya berkata, 'Anda perlu lakukannya, jika tidak harga roti dan barangan lain akan meningkat mendadak'," katanya.
Katanya lagi, selepas mendapat bekalan gandum untuk setahun, beliau membawa bekalan itu ke dalam negara dengan harga kos dan memastikan gandum kisar berharga rendah.
"Saya melepaskan RM30 juta atau lebih kepada kerajaan, yang berkuasa mengawal harga bagi barangan keperluan seperti gandum.
"Orang biasa pun menyedari yang saya sebenarnya boleh memindahkan kontrak pembelian kepada syarikat luar pesisir di Geneva atau Hong Kong, dan kilang saya akan dilihat seolah-olah membeli gandum melalui syarikat itu.
"Dalam kata lain, saya boleh memindahkan durian runtuh itu ke luar negara. Tetapi sebaliknya saya memilih untuk menenangkan harga domestik, kerana saya sentiasa dipandu nasihat ibu," katanya lagi.
Kuok berkata pesanan itulah yang sering diulang ibunya.
"Jika ibu anda sentiasa berkata: 'Jangan menjadi punca harga kepada tingginya harga makanan asasi kerana ia adalah makanan untuk orang miskin', ia kekal dalam diri anda," katanya lagi.

