Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
LHDN audit 15 bank jalankan aktiviti luar pesisir

Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sedang menjalankan audit menyeluruh ke atas 15 bank tempatan dan luar negara yang beroperasi di Labuan, yang mempunyai transaksi luar pesisir.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pematuhan) LHDN Abdul Manap Dim berkata audit yang memberi tumpuan kepada aktiviti perbankan itu, akan meneliti kemungkinan terdapat isu pindahan harga serta pembahagian keuntungan yang tidak setara dengan aktiviti di Labuan, dan Semenanjung Malaysia.

“Ini kerana kedua-dua tempat ini mempunyai kadar cukai yang berbeza,” katanya kepada media selepas melancarkan Op Mega 2017 di sini hari ini.

Beliau berkata LHDN yakin audit tersebut akan melibatkan jumlah cukai yang besar, yang mencecah ratusan juta ringgit.

Audit yang dilakukan itu merupakan sebahagian daripada akvititi penguatkuasaan yang dijalankan sempena Op Mega yang merupakan inisiatif LHDN dalam meningkatkan kutipan hasil dari segi pematuhan cukai dan publisiti terhadap aktiviti-aktiviti pencukaian LHDN, katanya.

Op Mega yang berlangsung selama dua minggu bermula 20 Nov hingga 1 Dis, melibatkan 4,219 pegawai dari semua jabatan dan cawangan LHDN di seluruh negara.

Mengenai sasaran kutipan cukai sebanyak RM127 bilion yang ditetapkan kerajaan, Abdul Manap berkata berdasarkan tempoh masa lebih sebulan dan trend pembayaran cukai selama ini, pihaknya yakin sasaran yang ditetapkan itu mampu dicapai.

“Kutipan cukai kini hampir RM109 bilion, dan kita ada sebulan lebih lagi... dan daripada trend yang kita ada selama ini, kita yakin akan capai sasaran yang ditetapkan,” katanya. -Bernama

Lihat Komen
ADS