Pelaburan KWSP di luar negara memberikan kecairan lebih baik berbanding pelaburan domestik sejak 2010, kata Kementerian Kewangan.

Dalam jawapan bertulis parlimen, kementerian itu berkata dari segi pulangan pelaburan luar negara mencatatkan kadar  antara 7.13 peratus dan 12.84 peratus antara 2010 hingga 2016.

Sebaliknya, pulangan ke atas pelaburan domestik mencatatakan kadar antara 5.74 peratus dan 6.82 peratus bagi tempoh masa yang sama.

Pendedahan pelaburan KWSP di luar negara juga semakin meningkat. Pada tahun 2010, 10 peratus asetnya dilaburkan di luar negara, manakala sehingga Jun tahun ini, angka itu berjumlah 29 peratus atau RM220.34 bilion.

Ini bermakna pendedahan KWSP di luar negara meningkat lima kali ganda sejak 2010 (RM44.05 bilion pada masa itu).

Pelaburan melibatkan lebih daripada 40 negara, dan 25 mata wang asing.

Kementerian Kewangan juga berkata selain itu, pelaburan di pasaran asing dapat mengurangkan risiko konsentrasi di pasaran domestik.

"Ia memberi KWSP akses kepada kepelbagaian pelaburan yang berkualitu, pasaran luar negara didapati mempunyai kecairan yang lebih baik,” katanya.

Kementerian itu bagaimanapun berkata, ini tidak bermakna KWSP mengabaikan pasaran tempatan kerana saiz portfolio pasaran domestik secara konsisten mencatat peningkatan pada kadar tujuh peratus setiap tahun.

Walau bagaimanapun, jawapan itu tidak dapat menyatakan apa yang dilakukan oleh KWSP di luar negara.

“Butiran pelaburan yang spesifik seperti keuntungan dan kerugian dalam sebuah syarikat, terutamanya yang masih dipegangan oleh KWSP adalah maklumat sulit dan sensitif.

“Sebarang pendedhan maklumat berkenaan kedudukan pelaburan dalam sesebuah syarikat berpotensi mengakibatkan pergerakan harga pasaran yang tidak wajar dan memberi gambaran tidak adil kepada pelaburan tersebut,” katanya.

Kementerian kewangan menjawap soalan Ahli Parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani Abdul Hamid, yang meminta butiran pelaburan KWSP di luar negara dari tahun 2013 hingga 31 Julai 2017.

Pelaburan KWSP di luar negara menjadi tumpuan selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berjanji kepada White House pada September lalu bahawa lebih banyak dana itu akan dilabur ke Amerika Syarikat.