Laporan polis gesa Zahid siasat borang palsu JPN
Satu laporan polis dibuat di Pulau Pinang berhubung borang pendaftaran palsu bagi individu yang tidak memiliki status kewarganegaraan yang menggunakan logo Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Borang palsu yang tular sejak minggu lepas menyatakan mereka yang ingin memohon kad pengenalan (Mykad) mesti mengundi BN pada Pilihan Raya Umum akan datang atau Mykad mereka akan dibatalkan.
Penyelaras jawatankuasa individu tanpa warganegara PKR, A Kumaresan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut di Jalan Patani hari ini, menggesa Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberikan penjelasan.
"Walaupun diketahui palsu, Ahmad Zahid mesti menyiasat dan terangkan dengan teliti, kerana borang itu membawa logo JPN," kata Kumaresan, yang merupakan seorang Ahli Majlis di Pulau PInang.
Beliau berkata walaupun JPN mengatakan borang itu palsu, polis perlu menyiasat motif politik di sebalik sebaran borang berkenaan untuk mengelakkan sebarang kekeliruan.
"Kami bimbang borang palsu ini akan digunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk kepentingan mereka sendiri, sekarang Pilihan Raya Umum Ke-14 (GE14) makin dekat," tambah Kumaresan.
JPN baru-baru ini mengesahkan dokumen yang tersebar di media sosial itu adalah palsu dan menafikan jabatan itu telah mengeluarkan borang sedemikian.
Individu yang tidak memiliki kewarganegaraan terutama di kalangan masyarakat India telah menjadi isu yang hangat diperkatakan dengan kerajaan persekutuan cuba menyelesaikan masalah itu menerusi inisiatif dinamakan MyDaftar.
Bagaimanapun pihak pembangkang mendakwa kerajaan persekutuan tidak mempunyai kesungguhan politik untuk menangani isu itu.
Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II P Ramasamy mendakwa terdapat 300,000 individu tanpa warganegara di negara ini, tetapi dinafikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Ahmad Zahid semalam membayangkan PRU14 akan diadakan selepas Tahun Baru Cina yang jatuh pada 16 dan 17 Februari tahun depan.
Parlimen akan berakhir pada 26 Jun 2018 - yang bermaksud PRU mesti diadakan dalam tempoh 60 hari daripada tarikh itu.

