Susulan laporan Ketua Audit Negara (LKAN) siri kedua 2016 yang keluar hari ini, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) akan memanggil beberapa kementerian untuk meminta penjelasan berhubung kelemahan pengurusan kewangan yang berlaku.

Pengerusi PAC Datuk Seri Hasan Ariffin berkata, kementerian yang sudah dipastikan setakat ini adalah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW).

“Masih ada kementerian dan jabatan yang mempunyai beberapa masalah dan kelemahan.

"Kita akan panggil yang melibatkan kepentingan masyarakat, seperti KBS yang melibatkan pembinaan kemudahan sukan dan belia. KKLW juga akan dipanggil (atas sebab yang sama)," katanya pada sidang media PAC di Parlimen, hari ini.

Beliau berkata terdapat empat teguran diberikan LKAN kepada dua kementerian itu.

LKAN siri kedua 2016 mengandungi mengemukakan 240 syor bagi penambahbaikan pengurusan peringkat persekutuan dan jua negeri.

Bagi KBS, laporan itu antara lain menyimpulkan prestasi kementerian itu dalam pengurusan projek gelanggang sukan sebagai memuaskan, dengan projek disiapkan dalam tempoh lanjutan masa dan pelantikan kontraktor yang mengikut undang-undang.

Tetapi masih terdapat beberapa kelemahan, antaranya untuk projek pembinaan gelanggang futsal apabila bayaran berjumlah RM31,040 dibuat kepada kontraktor walaupun kerja tidak dilaksanakan, kontraktor meminta bayaran dengan jumlah RM22,250 untuk komponen yang tiada atau telah dibayar, serta akuan sumpah siap kerja bagi dua projek bernilai RM337,575 yang dibuat sebelum ia siap.

Bagi KKLW pula, laporan itu membangkitkan projek talian grid di bawah program bekalan elektrik luar bandar di Sabah, yang disifatkan sebagai tidak memuaskan.

Selain dua kementerian itu, Hassan memaklumkan PAC akan turut memanggil Lembaga Pelabuhan Bintulu dan Malaysian Venture Capital Management Bhd (Mavcap) bagi tujuan sama.

"Tujuan utama adalah untuk menambah baik serta mencari usaha supaya kementerian, jabatan, agensi berjalan lebih baik, bukan mencari kesalahan atau kelemahan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Audit Negara Tan Sri Dr Madinah Mohamad (gambar) berkata pihaknya menggunakan pendekatan baru tanpa perlu menunggu sehingga pembentangan PAC dilakukan.

Sebaliknya, beliau berkata mesyuarat diadakan dengan badan terlibat untuk mengenalpasti mana-mana penjawat awam yang cuai atau melanggar peraturan agar tindakan dapat diambil segera.

"Kaedah ini berkesan. Ketika laporan terdahulu, kita dapat lihat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil tindakan sebelum atau sebaik sahaja laporan dibentangkan.

"Jabatan Audit Negara setiasa bekerja dengan semua agensi penguatkuasa, semua kementerian dan agensi perlu melihat LKAN ini secara serius dan peluang untuk penambahbaikan," katanya lagi.