Speaker Dewan Undangan Negeri Perak, Datuk S Thangasvari hari ini mengarahkan ADUN Pasir Pinji , Howard Lee keluar dewan atas alasan gagal mematuhi Perintah Tetap 44 (2) DUN Perak.

Thangasvari mendakwa, Lee tidak menghormati dan mengikuti arahannya ketika DUN bersidang dan menimbulkan kekecohan.

Kekecohan tercetus selepas Lee mengusulkan supaya Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib(BN-Slim) dihadapkan ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan selepas didakwa mengeluarkan kata-kata kesat kepadanya ketika sesi perbahasan pada 24 November lalu.

Ini menimbulkan rasa tidak puas hati, dan kedua-dua pihak bertikam lidah selama kira-kira 30 minit.

Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid (BN-Kamunting) turut bangun dan mengusulkan Perintah Tetap 44 (3) supaya Lee digantung perkhidmatannya.

Usul berkenaan kemudian dipersetujui wakil kerajaan dan Lee kemudian diiringi bentara untuk keluar dewan dan diikuti oleh semua wakil rakyat pembangkang kecuali empat ADUN PAS.

Lee digantung daripada menghadiri Sidang DUN Perak sehingga persidangan tamat petang ini.