Pasukan Gerakan Marin (PGM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) digesa memperluaskan rondaan di kawasan pesisir pantai Kuala Terengganu kepada sejauh sepuluh kilometer ke atas bagi membanteras bot nelayan asing dari Vietnam.

Anggota Parlimen Kuala Terengganu Datuk Raja Kamarul Bahrin berkata jarak rondaan ketika ini tidak mencukupi memandangkan nelayan asing masih boleh masuk dan mengaut hasil laut negara.

Beliau turut membidas jawapan yang diberikan pihak berkuasa yang mendakwa peruntukan minyak bot tidak mencukupi bagi kerja-kerja rondaan lebih jauh dan kerap.

“Peruntukan yang tidak mencukupi tidak boleh diterima. Peruntukan yang tidak mencukupi oleh orang atasan seolah-olah untuk menghalang rondaan zon B (perairan melebihi lima kilometer dari pantai).

“Kawasan itu merupakan tempat kegiatan secara haram oleh bot nelayan Vietnam. Jika pihak berkuasa keluar (meronda) jauh, mereka tidak akan mencukupi minyak untuk pulang,” katanya dalam sidang media di Parlimen hari ini.

Katanya, jarak rondaan kini yang dilakukan PGM adalah lima kilometer dari pantai manakala APMM pula adalah lima kilometer ke atas.

Bulan lalu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan kerajaan kerugian sebanyak RM3 bilion hingga RM6 bilion setiap tahun dengan jumlah 980,000 tan metrik hasil laut negara hilang akibat aktiviti nelayan asing.

Ahmad Zahid berkata pihak penguatkuasaan perlu mengambil tindakan bagi mengekang pencerobohan dan rompakan hasil laut negara.

Menurutnya, nelayan tempatan bukan wira yang tak diendahkan, tetapi golongan adalah wira yang tak didendang kerana mereka beri sumbangan besar kepada negara dan rakyat.

Mengulas lanjut mengenai pendedahan timbalan perdana menteri itu, Raja Kamarul berkata tidak seharusnya pihak berwajib terlepas pandang mengenai kerugian sebesar itu.

“Pencurian 980,000 tan metrik hasil tangkapan laut berharga RM6 bilion adalah jumlah yang amat besar yang tidak mungkin terlepas (dari) pandangan menteri-menteri dan pihak penguatkuasa selama ini.

“Tidak ada alasan yang munasabah boleh diberi. Sindiket tempatan dan asing mengaut RM6 bilion setahun telah lama bermaharajalela di perairan laut Malaysia,” katanya.