Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Ektremis seperti Jamal tak layak cabar Azmin'
Diterbitkan:  Nov 28, 2017 11:11 AM
Dikemaskini: 3:22 AM

Ketua Umno Bahagian Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos tidak layak mencabar Datuk Seri Azmin Ali di kerusi DUN Bukit Antarabangsa, kata setiausaha politik menteri besar Selangor, Shuhaimi Shafiei.

Malah katanya, Jamal yang juga Pengerusi NGO Malaysia itu tidak layak bertanding bagi mana-mana kawasan di Selangor kerana sikapnya yang 'ektremis'.

“Jamal seorang ekstremis sangat tidak sesuai di Selangor, namun itu adalah haknya untuk bertanding di mana-mana kawasan yang disukai.

“Boleh jadi BN hilang deposit jika orang sepertinya dipilih sebagai calon,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Menurutnya, beberapa kriteria perlu dipenuhi calon yang berhasrat untuk bertanding bagi kerusi Dun Bukit Antarabangsa.

“Calon wajib ada latar belakang profesional dan mempunyai kematangan pentadbiran kerana masyarakat di sana (Dun Bukit Antarabangsa) terdiri dalam kalangan terpelajar dan berpendidikan tinggi.

“Calon juga perlu mempunyai ciri yang menghormati perbezaan pendapat dan menangani sebarang isu secara berhemah bukannya beremosi,” katanya.

Shuhaimi yang juga Adun Sri Muda itu berkata, beliau yakin kemampuan Jamal sebagai calon turut diragui dalam kepimpinan Umno.

Sementara itu, Pengerusi Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata, Jamal banyak membantu rakyat Selangor dalam pelbagai isu.

Atas kapasiti katanya, Jamal mempunyai kredibiliti untuk mencabar Azmin di Dun Bukit Antarabangsa.

"Jamal layak lawan Azmin memandangkan dia sudah banyak tolong rakyat Selangor, contohnya dalam jualan ikan murah dan segar sehingga dia dikenali ramai," katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan geran tahunan kepada PBT Selangor semalam.

Lihat Komen
ADS