Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Lapangan terbang Bali ditutup, letupan besar dijangkakan
Diterbitkan:  Nov 28, 2017 11:45 AM
Dikemaskini: 3:50 AM

GLOBAL l Penutupan Lapangan Terbang Antarabangsa Gusti Ngurah Rai di Bali dilanjutkan bagi tempoh 24 jam susulan debu daripada Gunung Berapi Agung di pulau peranginan di Indonesia itu.

Reuters dalam laporannya yang memetik Kementerian Pengangkutan Indonesia, berkata, laporan daripada pihak berkuasa penerbangan tempatan menunjukkan laluan penerbangan pesawat dipenuhi dengan debu gunung berapi.

“Lapangan terbang Bali kira-kira 60 kilometer dari gunung berapi akan ditutup sehingga pukul 7 pagi waktu tempatan pada 29 November,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, Lapangan Terbang Lombok sudah dibuka semula selepas ditutup semalaman susulan letusan gunung berapi itu.

Dalam pada itu, AFP melaporkan majoriti pakar kajian gunung berapi berpendapat Gunung Agung akan meletus.

Ini selepas Indonesia meningkatkan amaran ke tahap tertinggi selain memindahkan kira-kira 100,000 penduduk.

"Kita sekarang menyaksikan letupan kecil, pengeluaran gas panas dan serpihan batuan lebur atau abu," kata pakar gunung berapi di Universiti Oxford di Britain, David Pyle.

"Gunung Agung mula menunjukkan letusan abu berterusan, sejak Sabtu dengan asap mencapai ketinggian 3,000 ke udara," kata pakar geologi Universiti Adelaide di Australia, Mark Tingay.

"Letusan kini beralih ke tahap seterusnya yang lebih serius kerana lahar boleh memerangkap gas dalam tekanan dan mungkin membawa kepada letupan," katanya.

Beberapa saintis mengesahkan petunjuk yang ada pada gunung itu menyamai letusan gunung berapi pada 1963 yang mengakibatkan 1,600 orang maut dan mengeluarkan abu kira-kira sejuta metrik tan sehingga menyebabkan purata suhu global jatuh di antara 0.2 ke 0.3 darjah celsius selama setahun.

"Berdasarkan perhatian pada 1963, aktiviti Gunung Agung kini sama permulaan letupan itu. Kemungkinan letupan besar berlaku adalah tinggi, namun ia mungkin memakan masa beberapa hari atau minggu," kata Pyle.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS