Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Hasrat rakyat tukar k’jaan sekadar mahu sara keluarga

ULASAN l Kenyataan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak yang menyatakan kenaikan barang tiada kaitan dengan pihak kerajaan yang memerintah adalah kenyataan simplistik yang cuba mengelirukan rakyat.

Sebagai pemegang ijazah doktor falsafah dalam bidang sains pprotest sabaholitik beliau sepatutnya memahami bahawa Kerajaan yang baik adalah yang memberi manfaat dan menjaga kebajikan rakyat.

Dalam konteks demokrasi, pertukaran kerajaan adalah proses biasa untuk memilih sebuah parti atau gabungan parti untuk diberi amanah dan tanggungjawab menjaga rakyat.

Para pemimpinnya perlu berkhidmat untuk menjadi fasilitator untuk mencari solusi penyelesaian masalah yang dihadapi oleh rakyat.

Memang harga barang akan terus meningkat tetapi adalah menjadi tugas pihak kerajaan dan kementerian yang bertanggungjawab untuk menstabilkan harga barang agar rakyat tidak terbeban.

Kerajaan yang memerintah perlu menggubal polisi yang menyokong pertumbuhan ekonomi dan menjana pendapatan rakyat. Struktur gaji rakyat perlu di kaji semula agar dapat menampung kenaikan harga barang.

Pelbagai insentif perlu diperkenalkan untuk membantu meringankan bebanan hidup rakyat. Itulah sebabnya dalam belanjawan alternatif Pakatan Harapan 2018 menggariskan beberapa langkah berani polisi fiskal untuk membantu meringankan beban rakyat.

Antaranya penghapusan GST, mengurangkan ketirisan dan perbelanjaan bertindih, memperkenalkan gaji minimum, pendidikan percuma universiti awam, menstruktur semula pembayaran hutang PTPTN, memperkenalkan semula subsidi minyak untuk golongan berpendapatan rendah dan beberapa insentif lain yang berpaksikan belanjawan kerajaan negeri Selangor dan Pulau Pinang.

Rekod terbaik Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai menteri kewangan seharusnya dijadikan contoh teladan di mana beliau berjaya mengekang kenaikan harga minyak yang memberi kesan secara langsung dan tidak langsung ke atas barangan lain dan kos sara hidup.

Kenyataan bahawa isu toleransi kaum dan agama yang tiada kaitan dengan penukaran sesebuah kerajaan juga adalah juga kenyataan dangkal yang mencerminkan budaya mengampu yang mengakar dan meresapi pimpinan.

Sebagai orang Sabah dan Kota Belud yang begitu terkenal dengan sikap muhibbah dan toleransi yang tinggi, beliau sepatutnya tidak lupa dan sengaja membelakangkan budaya Sabah yang sudah berakar umbi sekian lama, malah jauh lebih awal daripada konsep 1Malaysia.

Kepelbagaian kaum dan agama merupakan satu rahmat. Sebagai sebuah kerajaan dan pemimpin bertanggungjawab, kita perlu memimpin rakyat ke arah mencari titik-titik persamaan dan menghormati perbezaan dalam mengurus kepelbagaian kaum dan agama.

Nilai-nilai universal dan baik yang terkandung dalam setiap ajaran agama mesti dijadikan teras untuk menyatukan rakyat Malaysia walaupun kita bebeza dari sudut akidah.

Pertukaran sesebuah kerajaan adalah fenomena normal di seluruh dunia dan sebahagian daripada proses demokrasi.

Di Sabah menunjukkan rakyat Sabah juga terlibat dalam proses menukar kerajaan negeri dari zaman USNO, BERJAYA, PBS dan Umno. Pertukaran kerajaan berlaku apabila majoriti rakyat berasa tidak berpuas hati cara mereka dilayani.

Salleh Said mungkin masih ingat kerana beliau juga antara yang terkehadapan terlibat dan melompat. Bererti beliau tahu kelebihan dan kelemahan pada parti yang memerintah.

Seperti juga manusia, sesebuah kerajaan dan pemimpin ada jangkamasa hayatnya. Ia akan terus relevan selagi memberi manfaat kepada rakyat. Jika tidak ia akan mati tanpa nisan dan menjadi sebahagian catatan sejarah.

Untuk makluman menteri, bendahari Umno dan ADUN Usukan, kenaikan harga barang dan kos sara hidup yang bakal menjatuhkan kerajaan BN nanti sebagaimana dapatan kajian IDE itu hanyalah jelmaan akhir suatu protes.

Protes rakyat sebenarnya bertitik tolak daripada tadbir urus yang korup, pengabaian terhadap amanah diberikan oleh rakyat, yang pada prinsipnya tidak menegakkan "keadilan", malah bertindak zalim terhadap sesiapa yang ingin melakukan pembaharuan dan perubahan kepada kebaikan (islah) sejajar dengan agenda reformasi.

Hasrat rakyat terutama di Sabah untuk menukar kerajaan dan pemimpin bukan sekadar ingin kaya tapi inginkan kehidupan yang bahagia dengan pendapatan yang boleh menyara keluarga.

Mendapat bekalan air bersih daripada bertahun-tahun minum air tanah, membebaskan diri dari fenomena banjir yang saban minggu melanda, mendapat hak geran tanah dari hanya menumpang ehsan kerajaan semasa, jalanraya yang selesa, peluang pekerjaan anak-anak menyara kehidupan mereka dan pendidikan insani agar menjadi generasi berjiwa merdeka.


MUSTAPHA SAKMUD adalah timbalan pengerusi, majlis pimpinan negeri PKR Sabah merangkap ahli majlis pimpinan pusat.

Rencana ini adalah pandangan penulis dan organisasinya serta tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS