Mahkamah hari ini membebaskan aktivis Adam Adli Abdul Halim daripada pertuduhan melanggar Akta Perhimpunan Aman 2012 semasa perhimpunan Kita Lawan pada 2015.

Majistret Ahmad Solihin Abdul Wahid membebaskannya setelah memutuskan bahawa pendakwaan gagal menubuhkan kes prima facie.

Adam Adli kemudianya ketika bercakap kepada wartawan berkata, keputusan hari ini adalah suatu kejutan yang cukup menyenangkan memandang beliau terpaksa berdepan dengan pelbagai tindakan undang-undang sebelum ini.

Peguamnya, Latheefa Koya berkata ini adalah kali pertama seseorang yang didakwa terbabit dengan protes jalanan telah dibebaskan tanpa sebarang pembelaan.

Adam Adli bersama Pengerusi Jingga 13, Mohd Fariz Abd Talib @ Musa pada 9 September 2015 didakwa menyertai perhimpunan yang bermula di hadapan Kompleks Sogo, Jalan Tuanku Abdul Rahman dan berakhir di Esplanade KLCC di ibu negara antara jam 4 petang dan 7.30 malam, 28 Februari 2015.

Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 4(2)(c) Akta Perhimpuman Aman 2012 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM10,000.

Walau bagaimanapun, pada 2 November lalu, Fariz dilepas tanpa dibebaskan daripada pertuduhan berkenaan selepas pihak pendakwaan menutup kes terhadapnya.

Prosiding hari ini dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noorelynna Abd Halim.

[Baca berita penuh]