Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MB Pahang akui masalah bauksit masih berlaku

Kerajaan negeri Pahang hari ini, mengakui beberapa masalah utama berkaitan perlombongan bauksit masih berlaku meskipun kerajaan persekutuan telah mengenakan perintah moratorium ke atas aktiviti itu.

Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob berkata masalah itu seperti kegagalan pemilik atau pengusaha mengeluarkan bauksit mengikut tempoh bekerja yang ditetapkan iaitu pada 8 pagi hingga 12 tengah hari dan 2 petang hingga 4 petang.

"Terdapat juga pengusaha atau pemilik stokpile yang tidak diberi lesen eksport (AP) khas daripada Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar tetap melakukan aktiviti pengorekan dan pengangkutan bauksit secara haram.

"Kelulusan AP Khas juga melebihi kuantiti sebenar bauksit di tapak simpanan. Ini menyebabkan kerja pengorekan dan pengangkutan yang tidak sah berlaku bagi memenuhi kuantiti yang diluluskan," katanya.

Adnan berkata demikian pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang di Kuantan hari ini, bagi menjawab soalan Datuk Fong Koong Fuee (BN-Cheka) berhubung masalah yang tidak diselesaikan sejak perintah moratorium berkuat kuasa pada 15 Jan 2016.

Beliau menambah pemantauan oleh Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Pahang juga mendapati aktiviti melombong bauksit hanya berhenti sepenuhnya selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyita 10 juta tan metrik bauksit pada Ogos lalu.

"Masalah bauksit berlaku disebabkan manusia tamak. Saya ingat masa isu ini mencapai kemuncak, saya panggil operator dan beri amaran kepada mereka. Kalau tidak ikut peraturan, kerajaan pusat akan ambil alih dan mereka akan bankrap.

"Memang betul kerana selepas itu ramai yang gulung tikar. Dahulu pemandu lori boleh dapat RM7,000 hingga RM11,000 sebulan hasil mengangkut bauksit. Tapi bila dah ada moratorium, memang semuanya aman damai," katanya.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Andasura Rabu (PAS-Beserah) jika kerajaan negeri mempunyai rancangan mengambus semula lombong bauksit yang terbiar atau gagal diusahakan pemilik, Adnan berkata perkara itu seharusnya dilakukan tuan tanah.

"Tapi mereka tidak bersungguh-sungguh untuk menutup (semula tanah). Walaupun janji akan menutup kembali lombong, tiada langsung usaha dibuat walaupun telah dibayar deposit (oleh pengusaha) untuk berbuat demikian," katanya. -Bernama

Lihat Komen
ADS