Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini mencuba makanan tengah hari percuma di restoran pemimpin akar umbi Umno Datuk Seri Jamal Md Yunos di ibu negara.
Gambar beliau berkunjung dan beramah mesra bersama orang ramai di kedai itu dikongsi oleh Twitter Pejabat Perdana Menteri sebentar tadi.
Dalam kunjungan di premis di Jalan Pahang itu, Najib kelihatan turut menyauk lauk ke pinggan pengunjung, bersalaman dan turut menikmati juadah di kedai itu.
YAB PM @NajibRazak meluangkan masa bersama pengunjung Restoran Gabungan NGO 1Malaysia yang menyajikan makan tengahari percuma kepada rakyat Malaysia dari pelbagai lapisan di Jalan Pahang, Kuala Lumpur, tengah hari tadi. pic.twitter.com/rKXZUJ5vfc
— Msia PM Press Office (@PMOMalaysia) 28 November 2017
Jamal sebagai tuan rumah turut hadir menyambut Najib.
Mulai 16 Oktober lalu, Jamal membuka sebuah restoran yang membekalkan makanan percuma untuk setiap hari bekerja selama tiga tahun di Restoran Gabungan NGO 1 Malaysia.
Ia terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia dan pengunjung hanya perlu mencuci pinggan sendiri.
Konsep restoran itu diperkenalkan ketika aduan kos sara hidup yang membebankan rakyat.
Jamal sebelum ini pernah menawarkan jualan ikan dengan harga murah, yang menurutnya boleh dilakukan dengan mengketepikan peranan orang tengah.