Khalid mohon ketepikan saman RM14 bilion Puncak Niaga
Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memfailkan permohonan untuk membatalkan tuntutan saman oleh Puncak Niaga Holdings Bhd yang telah menamakannya, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan kerajaan negeri sebagai defendan dalam saman RM14 bilion.
Syarikat itu mendakwa bahawa kedua-dua Azmin dan Khalid menyalahgunakan kuasa mereka dengan mengancam untuk memaksa kerajaan persekutuan menggunakan Akta Industri Perkhidmatan Air untuk memaksa pengambilalihan industri air di Selangor.
Dalam satu kenyataan hari ini, Khalid mengesahkan bahawa peguamnya dari Tetuan AmerBON, Advocates telah memfailkan permohonan untuk membatalkan saman itu di Mahkamah Tinggi Shah Alam semalam dan mahkamah dimaklumkan mengenai perkara itu semasa pengurusan kes pagi ini.
Beliau berkata, bahawa saman tersebut adalah remeh dan merupakan penyalahgunaan proses mahkamah.
“Walau apapun keputusan mahkamah kelak, dan jika ditetapkan untuk perbicaraan, saya akan menyatakan kebenaran pada semua keadaan berkenaan penstrukturan semula industri air Selangor terutamanya berhubung Puncak Niaga.
“Pada setiap masa material, saya telah bertindak selaras dengan undang-undang dan menegakkan prinsip-prinsip dalam perlembagaan persekutuan dan perlembagaan negeri Selangor,” katanya.
Menegaskan bahawa air tidak boleh dibeli dan dijual sebagai komoditi biasa, Khalid berkata tujuan mengaut keuntungan luar biasa atau melanjutkan kepentingan peribadi pihak-pihak yang terlibat tidak seharusnya menjadi tujuan utama kerajaan yang memerintah.
“Saya juga ingin mengingatkan kerajaan negeri hari ini penstrukturan semula industri air Selangor perlu dilakukan dengan telus dan bertanggungjawab agar rakyat tidak terbeban dengan kos melampau.
“Sungguh mengecewakan kerajaan negeri masih belum membuat tawaran secara terbuka kepada Splash atau mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat tersebut agar penstrukturan semula boleh dilaksanakan dengan sempurna demi kesejahteraan rakyat,” katanya.

