Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mangsa banjir Kelantan naik kepada 5,016 orang

Jumlah mangsa banjir di Kelantan meningkat kepada 5,016 orang setakat 9 malam ini berbanding 3,033 orang pada 4 petang tadi.

Sebanyak 67 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di lapan jajahan iaitu Kota Bharu, Pasir Mas, Tanah Merah, Pasir Puteh, Kuala Krai, Machang, Bachok dan Jeli, setakat malam ini.

Menurut aplikasi infobanjir Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Pasir Mas mencatatkan jumlah mangsa paling ramai iaitu 1,716 orang daripada 604 keluarga yang ditempatkan di 22 PPS, diikuti Kota Bharu dengan 1,071 mangsa daripada 260 keluarga yang menghuni sembilan PPS.

Di Pasir Puteh, seramai 589 mangsa daripada 185 keluarga ditempatkan di enam PPS manakala seramai 540 mangsa daripada 166 keluarga dipindahkan ke lima PPS.

Sementara itu, di Tanah Merah, seramai 472 mangsa daripada 122 keluarga dipindahkan ke 14 PPS dan 345 mangsa daripada 95 keluarga lagi ditempatkan di tiga PPS di Jeli.

Seramai 156 mangsa daripada 31 keluarga dipindahkan ke dua PPS di Bachok manakala 127 mangsa daripada 29 keluarga menghuni enam PPS di Kuala Krai.

Menurut portal infobanjir.water.gov.my Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), paras air di Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas meningkat kepada 10.44 meter pada 9 malam ini berbanding 10.33 meter pada pukul 3 petang tadi (paras bahaya 9 meter).

Hujan kadangkala lebat dilaporkan masih berterusan di beberapa kawasan di Kelantan malam ini.

 

-Bernama
 

Lihat Komen
ADS