Pelajar cerita detik cemas bot terbalik
"Saya berasa takut dan membayangkan akan mati lemas selepas bot terbalik disebabkan ombak sangat kuat ," kata Wan Nur Aleesa Mohd Azman, 14, seorang daripada mangsa bot terbalik di Pangkor Village berhampiran Pulau Batu Orang Tua, dekat Lumut petang semalam.
Wan Nur Aleesa antara 15 penumpang dan seorang pemandu bot yang terlibat dalam insiden itu yang berlaku kira-kira jam 5.45 petang, semasa bot itu dalam perjalanan pulang dari Teluk Nipah ke pantai Pasir Bogak.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Ulu Kinta itu berkata dia berasa tidak sedap hati melihat keadaan ombak ketika itu, dan mula beristighfar supaya perjalanan tersebut selamat.
"Keadaan laut bergelora masa itu, kami semua berasa takut tetapi disebabkan ada jaket keselamatan, perasaan takut kurang sedikit dan berasa lebih selamat.
"Namun, selepas bot bergerak hampir lima minit, bot seperti dimasuki air sebelum tiba-tiba terbalik menyebabkan kami semua berada di dalam air. Keadaan berlaku begitu pantas dan kelam kabut," katanya ketika ditemui di sini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Manjung ACP Muhammad Hanif Othman berkata seorang pelajar sekolah rendah cedera parah manakala pemandu bot terbabit cedera ringan dalam kejadian itu.
"Seramai 10 orang termasuk empat guru pengiring, lima pelajar perempuan dan seorang pemandu bot berkenaan dihantar ke Hospital Seri Manjung untuk mendapatkan rawatan lanjut.
"Seorang pelajar berumur 12 tahun dari sebuah sekolah rendah di Johor berada dalam keadaan kritikal dan pihak hospital sedang berusaha merawatnya manakala pemandu bot tersebut mengalami kecederaan di bahagian tulang pinggul.
"Mangsa yang lain telah dibenarkan pulang selepas menerima rawatan di hospital yang sama," katanya pada sidang media malam tadi.
Muhammad Hanif berkata kesemua pelajar berkenaan berumur antara 10 dan 17 tahun dari beberapa sekolah seluruh negara, merupakan antara 59 peserta Seminar Motivasi yang berlangsung selama tiga hari bermula kelmarin.
Beliau berkata semasa kejadian, kesemua peserta menaiki lima bot untuk mengelilingi Pulau Pangkor sebagai salah satu aktiviti riadah seminar tersebut sebelum sebuah bot terbalik.
"Ombak bergelora dan keadaan panik di dalam bot menyebabkan bot tersebut terbalik. Namun, kita bersyukur kesemua penumpang memakai jaket keselamatan dan mengelak daripada kehilangan nyawa," katanya.
- Bernama

